MUDA Pulau Pinang desak penjelasan kematian doktor pelatih HPP - Utusan Malaysia

MUDA Pulau Pinang desak penjelasan kematian doktor pelatih HPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Pulau Pinang mendesak siasatan terbuka dijalankan berhubung insiden kematian seorang doktor pelatih Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan solusi kepada isu berkenaan.

Ketua Biro Kesihatan Parti MUDA, Dr. Lim Yu Xiang berkata, insiden kematian doktor pelatih itu merupakan kes yang amat mengejutkan dan menyedihkan, malah bukan kes kematian pertama membabitkan doktor pelatih dalam masa kurang dua tahun.

”Tindakan serta-merta harus diambil untuk mengelakkan kejadian sedemikian berulang. Malah, bukan lagi rahsia doktor pelatih terpaksa bekerja lebih masa, kadang-kadang mereka harus bekerja melebihi 16 jam sehari dalam mengharungi pandemik Covid-19, ramai doktor telah bertugas dalam keadaan yang sangat mencabar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, seorang doktor pelatih yang menjalani latihan di HPP dilaporkan maut selepas mayatnya ditemukan di pekarangan bangunan di Jalan Datuk Keramat di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes tersebut disiasat sebagai mati mengejut.

Susulan isu berkenaan, kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengadakan satu Majlis Mesyuarat Jawatakuasa Kesihatan Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu membabitkan doktor pelatih dan doktor junior untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi mereka.

Menurut Yu Xiang, kebajikan doktor pelatih tidak dibela memandangkan mereka terpaksa berhadapan dengan masalah kontrak kerja yang membawa risiko kehilangan pekerjaan apabila kontrak tidak dilanjutkan.

”Adakah doktor-doktor yang mengorbankan tenaga dan masa terutama semasa wabak Covid-19 wajar berhadapan dengan masalah sebegini. Oleh itu, pihak berkuasa harus melakukan siasatan terbuka dan mengenal pasti solusi yang paling bermanfaat kepada semua pihak,” katanya.

Tambahnya, isu waktu kerja yang melampau, kekurangan tenaga kerja dan budaya kerja yang tidak sihat telah wujud sekian lama dan wajar diselesaikan segera menerusi rundingan serta perbincangan dengan semua pihak terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN