Muda gesa perkenal skim bantuan ibu tunggal 

Muda gesa perkenal skim bantuan ibu tunggal 

PRN Johor
AMIRA AISYA ABD. AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa kerajaan memperkenalkan skim bantuan ibu tunggal bagi mengiktiraf golongan itu, sempena sambutan Hari Ibu, hari ini. 

Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, ibu tunggal adalah golongan ibu-ibu yang ditinggalkan dan diabaikan oleh suami tanpa peninggalan sebarang nafkah. 

Malah, katanya, jumlah ibu tinggal semakin meningkat selepas pandemik Covid-19 di mana ramai suami yang meninggalkan keluarga dan lari dari kehidupan yang sempit selepas dibuang kerja. 

“Seramai 1 juta rakyat negara ini dikenal pasti sebagai ibu tunggal menerusi statistik Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang dikeluarkan oleh kerajaan pada Februari lalu. 

“Ibu-ibu tinggal ini dibiarkan tanpa nafkah dan sebarang bantuan daripada kerajaan. Ada juga yang terpaksa meninggalkan anak-anak kecil di rumah tanpa pengawasan sementara mereka bekerja siang dan malam bagi menampung kehidupan sekeluarga.

“Skim Bantuan Ibu Tinggal perlu diperkenalkan dan boleh dibuat sama dengan bantuan yang diberikan kepada ibu-ibu tunggal. Bantuan dalam bentuk kewangan dan juga bantuan dalam bentuk kursus, latihan dan geran untuk mereka memulakan perniagaan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Amira Aisya berkata, kerajaan juga harus bekerjasama dengan pakar, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu ibu tinggal bagi mengenal pasti cara terbaik untuk mengiktiraf status ibu tinggal dengan tepat agar ia tidak dimanipulasi. 

Katanya, data berkenaan ibu tinggal dapat membantu semua pihak untuk mengenal pasti bentuk bantuan dan dasar yang sesuai bagi membantu kumpulan yang terjejas. 

“Saya harap bersempena dengan Hari Ibu pada hari ini, kerajaan mengambil berat akan nasib semua ibu-ibu di Malaysia dan tidak ada yang ditinggal dan dianak tirikan. 

“Selamat Hari Ibu pada semua ibu di Malaysia. Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN