MTEM gesa tubuh Lembaga Unggas, perkasa Nafas

MTEM gesa tubuh Lembaga Unggas, perkasa Nafas

ABDUL HALIM HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa kerajaan untuk menubuhkan Lembaga Unggas dengan kadar segera dan memperkasakan fungsi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi menyelesaikan isu berkaitan bekalan ayam.

Pengerusinya, Abdul Halim Husin berkata, MTEM secara dasarnya menyokong penuh ketetapan Kabinet yang diumumkan apabila ketegasan kerajaan untuk terus mengekalkan harga ayam standard pada RM8.90 menggambarkan kesungguhan kerajaan bagi memastikan rakyat dapat terus menikmati ayam pada harga yang berpatutan. 

Katanya, MTEM juga menyambut baik jihad memerangi orang tengah yang akan dipelopori oleh Nafas termasuklah arahan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk terlibat sama menggembleng usaha menangani krisis makanan.

Namun katanya, kunci kepada kejayaan untuk menyelesaikan isu berkaitan bekalan ayam akan berlaku jika ia berteraskan perincian yang mendalam dan strategi yang betul. 

“Kita ada Bank Negara untuk kawal selia institusi kewangan seperti bank. Kita juga ada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk kawal selia syarikat-syarikat korporat. Tapi anehnya kita tidak ada satu lembaga yang akan mengawal selia industri makanan dengan berkesan. Malah industri nanas yang bukan makanan utama kita pun ada lembaga untuk mengawal selia. 

“Jelaslah krisis ini membuktikan sebuah Lembaga Unggas perlu ditubuhkan untuk mengimbangi keperluan pengguna dan pengusaha atau pengeluar ayam dan telur, yang kecil dan yang besar, yang lebih adil dan mampan yang tidak meminggirkan semua pemegang taruh khususnya pengusaha penternak ayam dan telur berskala kecil yang kebanyakan terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera. 

“Malah lembaga ini juga boleh memastikan harga ayam yang sepatutnya tanpa meletakkan harga siling apabila ia dapat mengimbangi jumlah bilangan ayam import, bilangan keluaran berskala kecil dan berskala besar. Ini akan memastikan industri dapat bertahan dan rakyat tidak tertekan dengan permainan nakal orang tengah. Pasaran tidak lagi kawal oleh kartel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, selari dengan ketetapan Kabinet, MTEM juga mencadangkan Nafas diberikan kuasa dan sokongan sebagai GLC utama dalam sektor keselamatan.

Katanya, sebagaimana Petronas menjadi pemain utama dalam sektor minyak dan gas, maka begitu juga Nafas dalam sektor keselamatan dan kedaulatan makanan khususnya unggas seperti penghasilan ayam, itik. 

“Hakikatnya ayam adalah bahan makanan isi rumah yang bekalannya datang dari sektor penternakan, harganya lebih dipengaruhi kuasa pasaran, harga siling dan kawalan bekalan akan meningkatkan kos pengeluaran. 

“Penternak dapati harga makanan ayam melambung naik menjadikan harga siling tidak kompetitif. Oleh itu, subsidi perlu diberi kepada punca peningkatan kos yakni input makanan ayam sama ada jagung atau apa sahaja alternatif sebagaimananya yang dicadangkan Kabinet. Jika tidak intervensi kerajaan akan gagal.

“Malah lesen import (AP) untuk semua ini perlu ditutup semula sejurus selepas krisis ini berakhir, dan hanya GLC seperti Nafas diberi permit yang tunggal atau utama dan diberi mandat untuk menerajui pelbagai inisiatif termasuk melakukan pelaburan strategik, di mana ia juga akan dikawal oleh Lembaga Unggas yang baharu,” jelasnya. 

Sehubungan itu, beliau menambah, pihaknya mengharapkan ketetapan Kabinet dengan perincian yang halus, objektif yang jelas dan penambahbaikan yang dicadang itu boleh dilaksanakan serta dapat menunjukkan hasil dengan kadar segera. 

“Jika tidak, bekalan ayam dan makanan bukan sahaja berkurang, tetapi akan menjadi mahal setelah pengeluar tempatan tidak lagi mampu mengeluarkan hasil yang rakyat perlukan dan kita pula terlalu bergantung pada import ketika itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.