SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sembilan dalam usaha memperinci prosedur operasi standard (SOP) terbaik menangani isu anjing terbiar serta haiwan ternakan berkeliaran di daerah ini.
Kerjasama kedua-dua pihak tersebut termasuk meneliti semula undang-undang sedia ada supaya konflik dalam kalangan masyarakat dalam kedua-dua isu berkenaan dapat dicari jalan penyelesaian segera.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, perincian mengenai SOP tersebut termasuk berhubung kaedah penangkapan dan tempat kurungan selain melihat tindakan undang-undang lebih berkesan bagi menyelesaikan isu yang bertahun-tahun tidak berkesudahan sehingga turut memberi risiko kepada keselamatan orang ramai.
“Memang kami mahu menjadikan Seremban mencapai status sifar dalam kes haiwan ternakan berkeliaran dan kucing serta anjing liar. Ada perbincangan itu tetapi masih lagi di peringkat awal.
“Daripada segi undang-undang, MBS mempunyai undang-undang kecil sendiri dalam isu ini malah JPV juga ada bidang kuasanya sendiri dan kami mungkin boleh bergabung dan bekerjasama dalam aspek undang-undang.
“Bilakah ia mampu dilaksanakan sukar untuk dimaklumkan kerana ia banyak berkaitan dengan prosedur undang-undang, namun di pihak kami memang mahu ia dapat diselesaikan segera supaya perancangan lebih konkrit dapat dilakukan. Ia melibatkan kepentingan awam, sudah tentu ia perlu disegerakan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Masri dalam pada itu mengakui, langkah yang sedang diusahakan ini bukan sesuatu perkara mudah, justeru ia betul-betul memerlukan penelitian termasuk mengambil kira sensitiviti segelintir pihak.
“Kita perlu libat pihak-pihak yang berkepentingan contohnya penternak-penternak di kawasan Seremban. Menerusi usaha ini, tentunya kami boleh kenal pasti jumlah kandang ternakan yang ada termasuk jumlah lembu dan kerbau yang ada, perkara ini kami akan perincikan lagi.
“Dalam aspek SOP tangkapan anjing-anjing liar pula, tentunya perlu mengambil kira sensitiviti termasuk dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, kami akan cuba sebaik mungkin dan menyelaraskan peranan MBS dan JPV,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, berbanding daerah lain, pihaknya menghadapi lebih cabaran dalam menangani isu tersebut termasuk dalam aspek kawasan yang lebih luas serta jumlah haiwan ternakan terbiar yang lebih banyak.
Sementara itu, Pengarah JPV Negeri Sembilan, Dr. Redzuan Ibrahim berkata, sememangnya terdapat perbincangan antara kedua-dua pihak dalam hasrat menangani isu tersebut malah beliau sendiri mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
“Kami bercadang menjadikan Seremban bebas haiwan terbiar dan fokus diberikan kepada anjing dan kucing. Sekiranya ia mampu direalisasikan, Negeri Sembilan menjadi negeri pertama akan bergerak ke arah tersebut,” tambahnya. – UTUSAN