Lima sekawan ditahan, bungkus, jual semula dadah - Utusan Malaysia

Lima sekawan ditahan, bungkus, jual semula dadah

DADAH yang dirampas susulan penahanan lima sekawan dalam Op Tapis IPD Tampin di salah sebuah stesen minyak di pekan Tampin, kelmarin. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Hajat lima sekawan untuk membungkus serta menjual semula dadah seberat lebih 58 gram lebur apabila mereka ditahan Op Tapis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, bekalan dadah berkenaan dipercayai baharu sahaja diambil mereka di Kerubong, Melaka untuk dibungkus serta dijual semula di sekitar pekan Tampin dan Pulau Sebang, Melaka.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 3.30 petang, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tampin menahan sebuah kenderaan jenis Proton Persona di sebuah stesen minyak dan menahan tiga lelaki bersama dua wanita berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun.

“Hasil pemeriksaan menemukan dua peket plastik dan lapan tiub straw yang mengandungi dadah jenis heroin anggaran berat 58 gram dan sepeket plastik yang mengandungi dadah jenis syabu anggaran berat 0.25 gram yang disorokkan di bawah tempat duduk pemandu.

“Hasil ujian saringan awal mendapati empat daripada lima suspek yang kesemuanya merupakan penganggur itu positif methamphetamine dan morfin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuwal berkata, kesemua suspek ditahan reman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(3) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya