Lima ditahan jual 'vape' dadah - Utusan Malaysia

Lima ditahan jual ‘vape’ dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan lima individu yang menjual dan mengedar dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dalam bentuk perasa rokok eletronik atau ‘vape’ terbongkar selepas ditahan polis dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang, kelmarin.

Sindiket itu terbongkar selepas seorang lelaki berusia 23 tahun disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah tersebut ditahan kira-kira pukul 6.40 petang di kondominium di Jalan Kuching, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Petaling Jaya yang dipercayai dijadikan sebagai pusat memproses dadah.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan dua lelaki dan seorang remaja perempuan berusia antara 14 hingga 28 tahun.

“Remaja perempuan itu dipercayai teman wanita kepada salah seorang suspek lelaki berusia 25 tahun.

“Siasatan lanjut turut membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki berusia 34 tahun di kondominium di Jalan Cemur, di sini pada 11.30 malam tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Eng Lai, siasatan mendapat sindiket tersebut bergiat aktif sejak tahun lalu dengan menjual dadah berkenaan di dalam botol perasa ‘vape’ bersaiz 10 milliliter di Lembah Klang pada harga RM150 sebotol.

Jelas beliau, dalam serbuan itu, pihaknya merampas merampas sebanyak 4,210 mililiter (ML) dadah sintetik jenis MDMA dan air ketum sebanyak 7,000 ML yang dianggarkan berjumlah RM210,570.

“Siasatan lanjut dalam kes ini masih diteruskan bagi mengenal pasti suspek lain yang terbabit dan dari mana sumber bekalan diperoleh.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya