Lelaki jual 300 tan minyak masak terpakai diberkas

Lelaki jual 300 tan minyak masak terpakai diberkas

PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki menjual dan membeli minyak sawit keladak (minyak masak terpakai) sebelum memasarkan kembali terbongkar selepas dia ditahan dalam satu serbuan di Sungai Buloh semalam.

Penahanan lelaki berusia 34 tahun itu dilakukan kerana melanggar syarat permit ditetapkan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, siasatan telah dilakukan di bawah Peraturan 5 (1) Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 1998.

Kata beliau, sebanyak 300 tan minyak masak terpakai yang dibeli daripada pengusaha restoran dan kedai makan sekitar Lembah Klang, dianggarkan bernilai RM1.5 juta dirampas ketika serbuan itu.

“Dengan kejayaan operasi itu, JKDNKA bersama MPOB telah mengenal pasti modus operandi serta implikasi terhadap industri minyak sawit negara.

“Yang mana kawalan dan pemantauan secara berterusan akan dilaksanakan melalui operasi bersama,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN