Landasan ECRL di Pahang, bebas banjir

Landasan ECRL di Pahang, bebas banjir

KHAIRI Khalid Abdul Rahman (dua dari kiri) ketika ditemui pemberita pada majlis terbuka Aidilfitri bersama ECRL di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pembinaan antara lebuh raya dan landasan keretapi khususnya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah berbeza sekali gus menjadikan pelaksanaan projek berimpak tinggi itu di sepanjang negeri ini diyakini tidak terjejas jika berlaku bencana banjir.

Pengurus Pembinaan Malaysia Rail Link (MRL) Wilayah Pahang, Khairi Khalid Abdul Rahman berkata, kajian terperinci berkaitan banjir telah dibuat secara keseluruhannya di negeri ini.

Menurutnya, semua aspek telah pun diambil kira termasuk paras kejadian banjir sejak 100 tahun lalu.

“Daripada segi kajian dan reka bentuk muka bumi, semua sudah dibuat oleh penasihat berwibawa, jadi pembinaanya kita sudah menjangkakan tidak ada masalah jika banjir. 

“Selain itu, kita juga sudah membuat kajian dan mengambil kira paras kejadian banjir 100 tahun lalu, jadi ia (landasan) sudah mengambil kira semua sudut.

“Dalam pada itu, kalau pembinaan untuk jalan atau lebuh raya, biasanya ada kawasan turun naik tapi untuk trek seperti landasan keretapi reka bentuknya hanya mendatar dan kecerunan juga adalah kurang dari satu peratus sahaja,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas tentang kejadian banjir yang turut menjejaskan laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), ketika ditemui pada majlis terbuka Aidilfitri bersama ECRL, di sini semalam.

Khairi Khalid dalam pada itu berkata, projek pembinaan landasan ECRL di Pahang adalah paling mencabar namun berjalan dengan lancar, apabila lima daripada 36 terowong dari sempadan Terengganu hingga sempadan Selangor sudah ditembusi setakat ini.

“Setakat ini, antara lima terowong yang sedang dibina bermula Mei ini, menggunakan mesin pengorek terowong (TBM) berteknologi tinggi iaitu terowong Genting sekali gus menjadikannya pembinaan terpanjang dalam jajaran ini iaitu sejauh 16.39 kilometer.

“Manakala terowong-terowong lain merupakan yang pendek antara 190 meter hingga 600 meter sahaja dan turut berjaya ditembusi.

“Selain itu, bagi kerja-kerja mengorek terowong Kuantan di Jabor pula, kita menjangkakan selesai dilaksanakan sekitar bulan Oktober ini yang mana jaraknya kira-kira 2.866 km dan selepas itu kita boleh mulakan kerja lining di terowong berkenaan,” katanya. 

Sementara itu, pembinaan ECRL di negeri ini  melibatkan tujuh stesen iaitu Cherating, Kuantan Port City, KotaSas, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong.

ECRL secara keseluruhannya yang dibina sepanjang 665 km telah mencatatkan tahap kemajuan sebanyak 28.57 peratus setakat Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya