SEREMBAN: Kumpulan peguam pemerhati yang dicadangkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap keseluruhan proses prosiding perbicaraan kes penderaan remaja Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella dapat disegerakan bagi kepentingan remaja terbabit.
Tiga peguam terbabit iaitu Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Datuk Ikbal Salam hari ini ke sebuah pusat jagaan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Temiang dekat sini, untuk bertemu Bella.
Baljit Singh berkata, lawatan itu adalah tanggungjawab peguam pemerhati bagi pihak remaja Sindrom Down berkenaan.
“Kami sebagai peguam pemerhati Bella hadir untuk berjumpa dengan kanak-kanak berkenaan dan keadaan adik Bella sihat, baik serta kesan kecederaan juga semakin baik.
“Kami amat gembira kerana perhatian perubatan yang baik diberikan kepada Bella. ami juga memohon supaya perbicaraan ini dapat dilengkapkan segera demi kepentingan Bella sebagai seorang kanak-kanak,” katanya.selepas melawat kanak-kanak itu di sini.
Menurut Baljit Singh, lawatan itu rentetan pelantikan mereka sebagai peguam pemerhati Bella sebagaimana dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen (Jenayah) Kuala Lumpur pada 20 April lalu bagi memastikan keadilan dan hak Bella sentiasa terpelihara.
Pada 17 April lalu, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati bagi kes penderaan remaja berkenaan.
Kes membabitkan Bella mendapat perhatian ramai selepas remaja itu disyaki didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur.
Perbicaraan kes penderaan Bella berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sejak 30 Mac lalu dan akan bersambung 30 Mei ini. – UTUSAN