Kontraktor terima `balasan' lebih rendah daripada kos kajian projek terowong dasar laut

Kontraktor terima ‘balasan’ lebih rendah daripada kos kajian projek terowong dasar laut

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini diberitahu, syarikat kontraktor yang menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang, menerima `balasan’ yang jauh lebih rendah daripada kos kajian yang dikendalikannya.

Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) hanya menerima `balasan’ sekitar RM80 juta melibatkan pemberimilikan dua bidang tanah kerajaan beralamat di Lot 702 dan Lot 713 di Bandar Tanjung Pinang.

Kedua-dua tanah itu masing-masing bernilai RM50 juta dan RM30 juta, manakala kos kajian yang dijalankan sekitar RM138 juta.

Perkara itu dinyatakan oleh dua bekas pegawai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Pulau Pinang ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng, hari ini.

Zakariya Nayan, 55, dan Nurul Asshima Aminullah, 33, masing-masing sebagai saksi pendakwaan ke-25 dan ke-26 bertanggungjawab melakukan kerja penilaian ke atas kedua-dua hartanah berkenaan.

Dalam perbicaraan sebelum ini, bekas Exco Pulau Pinang Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri pada 11 Disember 2014 yang dipengerusikan Guan Eng meluluskan pemberimilikan lot 702 di Bandar Tanjung Pinang, Daerah Timur Laut di negeri itu kepada CZBUCG.

Ujar Hock Seng, bayaran kos kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) bagi projek pembinaan tiga jalan utama di Pulau Pinang tidak dijelaskan kepada kontraktor secara tunai, sebaliknya dibuat melalui pemindahan dua lot tanah milik kerajaan negeri.

Hock Seng berkata, beliau mengetahui bahawa Lot 702 itu kemudian ditambak untuk membangunkan projek `City of Dreams’ terletak di Tanjong Tokong.

Pada prosiding hari ini, kedua-dua saksi bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa kerajaan negeri mendapat manfaat yang besar dan tidak mengalami sebarang kerugian melalui pemberimilikan tanah-tanah berkenaan.

Sebelum itu, peguam Haijan Omar yang mewakili Guan Eng mencadangkan nilai dua lot tanah yang diberi kepada CZBUCG sebagai ‘balasan’ kerja berkaitan adalah lebih rendah daripada kos kerja kajian kebolehlaksanaan projek.

Zakariya yang kini pegawai penilaian di Jabatan Insolvensi berkata, pada Disember 2014, beliau menerima permohonan bagi menilai Lot 702 untuk diberi milik kepada Ewein Zenith Sdn. Bhd. untuk pembangunan kediaman dan perniagaan.

Ujarnya, hasil penilaian yang dijalankan, harga bagi pegangan kekal berkeluasan 14,863 meter persegi adalah pada kadar RM3,360 meter persegi manakala nilai pasaran ialah RM50,000.

Sementara itu, Nurul Asshima berkata, beliau menerima permohonan penilaian hartanah bagi Lot 713 pada November 2016 dan mendapati nilai lot berkenaan adalah kurang daripada RM73 juta yang dibelanjakan pemaju untuk projek itu.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika sesi pemeriksaan semula berkata, kedua-duanya tidak mengetahui bentuk projek yang dilaksanakan oleh syarikat berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 7 Jun ini.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya