Kewartawanan harus kekal bebas - PM - Utusan Malaysia

Kewartawanan harus kekal bebas – PM

ISMAIL SABRI Yaakob (dua dari kanan) hadir melawat pameran di Majlis Kemuncak Sambutan Hawana di Hotel Hatten, Banda Hilir Melaka. Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tiga dari kanan), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (kanan) dan Senator Ras Adiba Radzi. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Profesion kewartawanan harus kekal bebas, berfungsi tanpa gangguan dan campur tangan pihak lain, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana agensi media menyiarkan sebarang laporan yang kadangkala dijadikan panduan pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan.

Jelas Perdana Menteri, kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap laporan yang dibangkitkan demi kepentingan negara.

“Saya beri jaminan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan oleh kerajaan dalam penyaluran maklumat demi kepentingan Keluarga Malaysia dan pembangunan negara.

“Menjadi harapan kerajaan agar golongan wartawan terus menyiarkan laporan yang adil dan proaktif dalam mengeluarkan cadangan bagi penyelesaian kepada sesuatu isu yang dibangkitkan.

“Saya yakin langkah ‘semak dan imbang’ terhadap setiap informasi yang diterima sebelum disebarkan tetap menjadi amalan media bagi mengelak berlaku sebarang salah lapor yang boleh menjejaskan juga integriti dan kepercayaan ramai,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di sini hari ini.

Hawana diadakan di Bandar Bersejarah Melaka bermula Sabtu lalu sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan petugas media membantu membangunkan dan mengukuhkan perpaduan negara.

Dalam pada itu, tambah Ismail Sabri, organisasi media dan wartawan perlu membantu menangkis laporan tidak benar disebarkan ‘wartawan segera’ yang lahir akibat ledakan teknologi digital.

“Saya berharap organisasi media dan wartawan dapat membantu menangkis dan menolak laporan tidak benar serta menyedarkan wartawan segera supaya tidak lagi meneruskan perlakuan sedemikian.

“Wartawan di Malaysia perlu bersatu dan memainkan peranan ke arah penyaluran maklumat benar dan sahih, sebagai cara menangani isu berita palsu yang berleluasa,” jelas Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN