PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tampil membantah keputusan kerajaan menyelesaikan kes saman bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung penamatan perkhidmatannya di luar mahkamah.
Beliau berkata, keputusan itu berbeza dengan pendirian kerajaan ketika beliau memberi keterangan kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sebelum ini bagi persediaan kes saman tersebut.
Dakwanya, beliau telah dimaklumkan bahawa proses penamatan perkhidmatan Apandi adalah betul dan mengikut prosedur dan rule of law.
“Mereka maklumkan bahawa saya dan kerajaan telah memberi nasihat betul pada Yang di-Pertuan Agong supaya Apandi ditamatkan perkhidmatan. Saya terkejut apabila baca berita baru-baru ini tentang satu penyelesaian di luar mahkamah dibuat diantara kerajaan dan Apandi. Terma penyelesaian juga dirahsiakan.
“Saya tidak pun dimaklum tentang terma penyelesaian walaupun saya merupakan saksi utama. Saya tidak bersetuju dengan cara penyelesaian tersebut dibuat. Kerajaan tidak sepatutnya tunduk memandang bahawa tindakan penamatan perkhidmatan Apandi mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, beliau juga mempersoal mengapa terma penyelesaian harus dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai.
“Rakyat berhak tahu. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pampasan. Apakah pampasan perlu dibayar jika tindakan dibuat mengikut undang-undang? Di mana prinsip Rule of Law.
“Saya berpendapat penyelesaian memberi pampasan besar itu untuk seorang yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik adalah amat dikesali di waktu mana sekalipun. Saya tidak mengaku salah dan bersedia untuk tuntutan Apandi diadili di mahkamah,” katanya.
Pada 13 April lalu, kes saman Apandi yang mendakwa dirinya telah diberhentikan secara salah oleh Mahathir dan kerajaan diselesaikan secara baik selepas prosiding pengurusan kes tersebut yang dijalankan secara dalam talian.
Bagaimanapun, terma-terma penyelesaian tidak didedahkan kepada media.
Kes itu sebelum ini gagal diselesaikan secara baik melalui mediasi dan Mahkamah Tinggi di sini telah menetapkan 18, 20, 21 dan 22 April 2022 untuk perbicaraan kes tersebut.
Pada 13 Oktober 2021, Mohamed Apandi memfailkan saman terhadap Dr. Mahathir dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua atas dakwaan bekas Perdana Menteri itu telah menyalahgunakan kuasanya sehingga menyebabkan beliau kehilangan jawatan tertinggi dalam Jabatan Peguam Negara, dua tahun lalu.
Pemecatan tersebut dakwa Mohamed Apandi, menyebabkan beliau kehilangan punca pendapatan bagi tempoh 27 Julai 2018 hingga 26 Julai 2021, elaun keraian, perumahan, perubatan, Elaun Khas Peguam Negara, pampasan cuti dan faedah-faedah lain berjumlah melebihi RM2 juta.
Pada 14 November 2020, Dr. Mahathir dan kerajaan dalam pembelaan pernyataan pembelaan mereka menyangkal dakwaan Mohamed Apandi dan menyatakan penamatan kontrak bekas Peguam Negara dibuat berlandaskan undang-undang, sah dan tidak berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa.
Kedua-dua defendan mendakwa tuntutan Mohamed Apandi yang merupakan plaintif dalam saman itu tidak bermerit serta tersalah dari segi fakta dan undang-undang dan tidak berhak untuk mendapatkan relif-relif yang dipohon.
Pada 25 Mei 2021, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Mohamed Apandi untuk mendapatkan surat atau dokumen menunjukkan perkenan Yang di-Pertuan Agong berkaitan penamatan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara pada 2018. – UTUSAN









