Kerajaan digesa gantung sementara import daging dari pusat sembelihan TFI Australia - Utusan Malaysia

Kerajaan digesa gantung sementara import daging dari pusat sembelihan TFI Australia

Sejak 14 April lalu, akhbar ini mendedahkan berhubung status halal rumah penyembelihan haiwan itu yang diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan digesa menggantung sementara peng­importan daging dari sebuah ru­mah sembelihan di Australia yang operasinya didakwa melanggar protokol halal dan syariat Islam.

Tokoh-tokoh agama mahu tindakan itu dilaksanakan se­gera sementara menunggu Ja­batan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan pelanggaran protokol halal di rumah sem­belihan Thomas Foods International (TFI).

Berdasarkan borang pengeksportan sebanyak 45 peratus bekalan daging seperti kambing, biri-biri dan lembu dari pusat penyembelihan tersebut dieks­port ke Malaysia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, tindakan drastik itu perlu dilakukan bagi menunjukkan ke­tegasan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang tidak berkompromi dalam isu halal dan haram produk makanan diimport.

Apatah lagi, menurut beliau, wujud pengakuan daripada seorang bekas pekerja rumah sembelihan itu sekali gus menimbulkan keraguan yang boleh jatuh kepada unsur-unsur syub­hah atau kesamaran perkara ber­kaitan halal.

Halal itu jelas

Kata beliau, ia sebagaimana dalam hadis Rasulullah SAW yang menyatakan sesuatu yang halal itu jelas dan haram itu jelas, dan di antara kedua-duanya ada syubhah, maka sesiapa yang berada dalam situasi syubhah itu, ia jatuh kepada haram.

“Maka berdasarkan hadis itu, jelaslah pada kita, adalah lebih baik ditangguhkan dahulu (import daging) atau siasat sepenuhnya. Namun, kita mengalu-alukan kenyataan Jabatan Ke­­majuan Islam Malaysia (Ja­kim) bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan isu ini.

“Walaupun pada mulanya Jakim menyatakan tiada kesa­lahan rumah sembelihan itu, kita terimalah, tetapi jika wujud unsur meragukan kena siasat. Sementara siasatan dijalankan, kita tahan dahulu import daging dari rumah sembelih itu,” katanya di sini semalam.

Dalam maklum balas kepada Utusan Malaysia kelmain, TFI menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan ditujukan terhadap syarikat rumah sembelihan di Lobethal, Australia itu.

Bagaimanapun, sumber uta­ma bekas pekerja yang juga penyembelih di syarikat rumah sembelihan itu berkata, segala dakwaan yang didedahkan mempunyai bukti bergambar dan rakaman video yang dikongsi adalah benar.

Pekerja yang mahu dikenali sebagai Abdullah menjelaskan, semua bukti itu dirakam menerusi telefon pintarnya yang mempunyai maklumat lengkap berdasarkan masa, tarikh dan lokasi yang direkodkan di iPhone.

Penyembelihan haiwan

Pada 14 April lalu, Utusan Malaysia mendedahkan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Laporan itu dibuat berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, Jakim harus bertanggungjawab memberi penjelasan sewajarnya terhadap bukti rakaman video itu yang kini sudah tular dalam kala­ngan masyarakat, bagaimana amalan sedemikian boleh berlaku.

“Jakim kena tanya pihak berkenaan supaya keputusan dibuat selari, kita yakin apa yang dibuat Jakim, tapi oleh kerana perkara salah itu sudah viral, maka Jakim kena jawab keseluruhannya supaya kita makan benda yang jelas halalnya,” kata beliau.

Menyokong pendapat sama, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed berkata, selain daripada mematuhi rukun sembelihan, setiap haiwan yang disembelih perlu dipastikan adakah ia mati disebabkan sembelihan itu atau sebab-sebab lain yang terjadi selepasnya.

Menggelupur

Sebagai contoh, menurut beliau, apabila ada antara menggelupur selepas disembelih dan jatuh ke dalam longkang yang ada air, kemudiannya ia mati lemas.

Oleh itu, jelasnya, walaupun disembelih, haiwan itu mati sebab lemas yang menjadi penyebab ayam itu sudah menjadi bangkai dan tidak halal dimakan kerana ia mati bukan akibat sembelihan.

“Jadi kalau tengok video itu, penyebab kematian haiwan itu kerana lemas dalam darah, maka Jakim perlu siasat, haiwan itu tidak boleh dimakan.

“Namun, kita serah kepada pihak berautoriti dalam perkara ini dan umat Islam yang makan tidak menanggung dosa. Kita mencadangkan supaya pihak yang ada autoriti ini meneliti dengan sebaik-baiknya supaya perkara kecuaian ini tidak berlaku kerana melibatkan soal hukum halal haram.

“Kalau perlu apa-apa tindakan diambil terhadap premis itu kalau didapati memang ada ke­cuaian, memang wajar dikenakan tindakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN