Keahlian JPTD sudah dijelaskan sebelum ini - Hasni

Keahlian JPTD sudah dijelaskan sebelum ini – Hasni

HASNI Mohammad (kanan) berswafoto bersama orang ramai yang menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan di Dewan UMNO, Pontian, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pembangkang di negeri Johor disaran untuk terus memainkan peranan ‘semak dan imbang‘ dan tidak memikirkan soal untuk dilantik sebagai ahli mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Tindakan Daerah (JPTD).

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) tidak pernah menimbulkan isu tersebut.

Katanya, harus ada perbezaan antara ADUN kerajaan dengan pembangkang bagi meraikan demokrasi dan tidak sewajarnya ada tuntutan seperti itu kerana pelantikan sebagai ahli mesyuarat JPTD berdasarkan kepada peraturan tertentu.

“Perkara itu telah jelas diperkatakan sebelum ini dan tidak sewajarnya ditimbulkan kembali kerana masing-masing ADUN kerajaan dan pembangkang mempunyai tanggungjawab mereka.

“Teruskan peranan sebagai ‘check and balance’ dan tidak memikirkan perkara yang telah diputuskan oleh kerajaan Pusat bahawa keahlian JPTD adalah dalam kalangan ADUN kerajaan sahaja dan bukan pembangkang,” katanya.

Pengerusi BN Johor itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan, di sini.

Isu berkenaan ditimbulkan kembali oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Liew Chin Tong dan ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz yang menggesa kerajaan negeri membenarkan ADUN pembangkang menyertai mesyuarat itu.

Mereka menyifatkan pembangkang perlu diberikan peranan yang sama kerana pengundi telah memilih mereka sebagai wakil rakyat untuk menyampaikan segala permasalahan melalui mesyuarat tersebut.

Tambah Hasni yang juga ADUN Benut, isu itu juga telah dijelaskan semasa beliau menjadi Menteri Besar sebelum ini kepada Ketua Pembangkang ketika itu, Aminolhuda Hassan.

“Setelah berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan pengundi memberikan mandat kepada BN dengan kemenangan dua pertiga, inilah masanya untuk bekerja untuk rakyat bukan menimbulkan isu seperti itu,” tegasnya.

Ditanya mengenai ketidakpuasan hati pihak pembangkang mengenai pelantikan 16 Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) pula, Hasni turut menolak dakwaan tersebut.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab BN bagi memastikan pengundi di kawasan yang diwakili oleh ADUN pembangkang turut mendapat perkhidmatan dan layanan yang baik seperti di kawasan BN.

Menurut beliau, tidak menjadi masalah jika pembangkang juga ingin melantik wakil mereka di 40 kerusi DUN yang diwakili oleh BN sekiranya mereka juga ingin mengetahui peranan sebagai wakil kerajaan.

“Pelantikan JPKD tidak bermaksud untuk mengganggu tugas-tugas ADUN sedia ada tetapi kami menjalankan tugas berdasarkan saluran dan keperluan yang ada,” tambahnya. -UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya