KD Lekir cipta sejarah tembak peluru berpandu di luar Malaysia - Utusan Malaysia

KD Lekir cipta sejarah tembak peluru berpandu di luar Malaysia

KAPAL KD Lekir meninggalkan Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut hari ini untuk menyertai RIMPAC 2022 di Hawaii, Amerika Syarikat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kapal Diraja (KD) Lekir bakal mencipta sejarah apabila menjadi kapal perang pertama negara melakukan penembakan peluru berpandu di luar perairan Malaysia.

Tembakan peluru berpandu jenis Exocet MM40 itu dijangka dilakukan ketika menyertai Eksesais Lingkaran Pasifik atau ‘Rim of The Pacific’ (RIMPAC) 2022 yang akan berlangsung di Kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat, pada 29 Jun hingga 4 Ogos depan.

Pegawai Memerintah KD Lekir, Komander Mohd Asri Dasman berkata, penghormatan diberi peluang melakukan penembakan peluru berpandu dalam eksesais pelbagai hala maritim terbesar di dunia itu adalah detik bersejarah bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Memang berat tugasan KD Lekir kali ini kerana selain perlu bertahan 99 hari belayar di laut, kita juga perlu melakukan penembakan peluru berpandu tanpa bantuan pihak lain. Semua 140 kru kapal sudah bersedia sejak tahun lepas dan sudah menyertai beberapa siri latihan dan eksesais dengan kapal TLDM serta bersama tentera laut Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan tali KD Lekir di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Perasmian majlis itu disempurnakan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis.

Abu Bakar dalam ucapannya berkata, KD Lekir yang berlepas hari ini dan dijangka kembali ke Pangkalan TLDM Lumut pada 6 September depan, adalah kapal TLDM kedua menyertai eksesais RIMPAC selepas KD Lekiu menjadi kapal perang pertama negara menyertainya pada 2018.

Beliau berkata, Eksesais RIMPAC 2022 merupakan eksesais maritim terbesar di dunia yang mengumpulkan pasukan tentera laut dari 29 negara, melibatkan kira-kira 41 buah kapal perang, lima kapal selam, 11 angkatan tentera darat, dua pesawat ronda maritim, 150 pesawat pejuang dan helikopter serta 25,000 anggota.

“Eksesais ini telah dimulakan sejak 1971 di mana dianjurkan secara dwitahunan dilaksanakan di Lautan Pasifik iaitu kira-kira 6,628 batu nautika atau pun lebih kurang 12,275 kilometer dari Pangkalan TLDM Lumut.

“Ia juga merupakan eksesais maritim terbesar yang mempunyai durasi paling lama iaitu bagi fasa pelabuhan di Pearl Harbour mengambil masa selama 15 hari dan fasa laut di Lautan Pasifik selama 23 hari dan fasa penutup di Pearl harbour selama tiga hari,” jelas beliau.

Beliau memberitahu, ia juga merupakan pelayaran paling lama bagi sebuah kapal untuk menyertai eksesais iaitu selama 29 hari bagi pelayaran pergi dan 30 hari bagi pelayaran pulang, iaitu keseluruhan mulai hari ini, KD Lekir akan mengambil masa kira-kira 100 hari untuk pelayaran terulung itu sekali gus menguji kesiagaan, ketahanan dan profesionalisme pegawai dan anggota beroperasi di dalam ketumbukan pelbagai negara.

Katanya, eksesais itu juga bakal menguji kesiapsiagaan KD Lekir dalam melaksanakan penembakan peluru berpandu di perairan antarabangsa yang jauh dari tanah air selain dipilih untuk menyertai ‘Carrier Strike Group’ bersama-sama kapal pembinasa dari Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.

Sementara itu, seorang anggota TLDM yang menyertai eksesais itu, Bintara Kanan Sulaikha Yusuf, 37, berkata, walaupun sedih kerana terpaksa meninggalkan dua isterinya iaitu Nurhidayah Ibrahim, 35, dan Nurul Syuhada Abu Bakar, 28, selama lebih tiga bulan, perasaan itu perlu diketepikan demi pengorbanan untuk negara.

Malah, Nurul Syuhada ketika ini sedang mengandung anak ketiganya yang dijangka dilahirkan pada Oktober depan manakala beliau dijangka kembali ke tanah air sebulan sebelum itu.

“Saya berbangga dan merasa teruja diberi peluang dapat terlibat sama dalam RIMPAC 2022 ini,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya