Kartel ayam menipu - Utusan Malaysia

Kartel ayam menipu

Kartel didakwa menutup ladang ternakan ayam sebagai tanda protes kepada kerajaan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kartel didakwa menipu pihak berkuasa de­ngan memberi alasan berlaku ma­salah ‘tumbesaran ayam’ un­­­tuk menutup operasi ladang antara dua hingga tiga hari bermula hari ini atau esok.

Walaupun setakat ini, hanya empat syarikat penternak dila­porkan menghentikan operasi, syarikat lain di seluruh negara juga dijangka bakal menyertai konspirasi itu.
Ini dipercayai bagi memberi teka­nan kepada kerajaan susulan bayaran subsidi harga ayam 60 sen yang didakwa lewat.

Tindakan penutupan opera­si ladang menjejaskan jualan ayam dan tinjauan di beberapa buah negeri semalam mendapa­ti peniaga dan pembeli mula me­ngeluh kerana kekurangan be­kalan.

Malah ada pelanggan yang ter­­paksa memikirkkan semula untuk menyediakan juadah jamuan raya susulan masalah be­kalan ayam di pasaran.

Satu sumber industri ber­kata, isu yang sedang dihadapi tersebut tidak mudah ditangani dan dijangka berlarutan apabila lebih banyak syarikat lain turut menyertai ‘mogok senyap’ itu.

Katanya, masalah kekura­ngan bekalan yang sedang dihadapi di Kedah, Johor dan Negeri Sembilan membuktikan konspirasi ter­sebut berjaya selepas kerajaan tertipu dengan alasan berat ayam tidak cukup sehingga tidak boleh dibekalkan ke pasaran.

Sumber berkata, menutup operasi hanya untuk dua atau tiga hari adalah tidak logik kerana mustahil penutupan dalam tempoh singkat itu mampu membaik pulih sistem ternakan manakala pada hari ketiga ayam terus besar.

“Kerajaan jangan tertipu dengan taktik licik kartel, kononnya mahu tutup ladang dua hari. Kalau betul alasan ayam itu tidak besar, jangan ugut tutup dua hari, tutup tiga bulan terus. Perbaiki dulu sistem makanan ayam, bersihkan broiler dan semua yang patut dibuat.

“Jadi bagi saya, kalau dua hari tutup itu, ia ugutan. Mana ada reban tutup dua hari? Tiada dalam dunia. Kena tutup untuk cuci broiler, bersihkan, itu perlu sekurang-kurangnya 14 hari kalau kamu mahu bawa masuk anak ayam baru. Jadi, tutup dua hari itu untuk apa?” tanya sumber itu semalam.

Menyiasat alasan

Berikutan itu, sumber berkata, kerajaan perlu menyiasat alasan tersebut kerana faktor tumbesaran ayam sebenarnya dalam kawalan kartel atau penternak.

“Tindakan tutup ladang kali ini memang bertujuan mengisytiharkan perang ekonomi terhadap negara.

“Apa pasal kurang berat? Sedangkan kartel sendiri yang suap makan anak ayam, mereka boleh tambah supplemen untuk bagi ayam itu makan lagi banyak. Jadi kenapa ayam kamu tak besar? Jadi bagi saya, memang betul lah mereka buat macam ini untuk kurangkan bekalan seluruh negara,” kata sumber.

Katanya, kerajaan tidak harus cepat termakan `gula-gula’ kartel sebaliknya mereka perlu menghantar pegawai membuat pemeriksaan sampai ke ladang.

“Apa masalahnya kalau mereka masuk (ke ladang ternakan kartel) dan siasat ayam kurang berat, ambillah rekod ladang. Bila ayam masuk? Apa makanan yang diberi?

Berapa berat makanan yang sudah diberi? Walhal dalam rekod ladang, (maklumat) itu hari-hari ada ditulis. Kerajaan ini senang digula-gulakan,” kata sumber.

Kata sumber itu lagi, tindakan kartel itu juga dipercayai dirancang selepas mereka turut berasa terancam dengan pendedahan sebelum ini sehingga menggesa kerajaan menubuhkan sebuah lembaga unggas bagi menjaga bekalan ayam negara.

“Oleh itu, kerajaan perlu segera cari mekanisme tubuhkan lembaga unggas. Panggil ahli-ahli industri yang nasionalis, sertakan mereka dalam sesi libat urus untuk dapatkan idea bagaimana mahu tubuhkan lembaga unggas, seterusnya menjadikan industri ayam ini milik negara dan bukan milik kartel swasta seperti yang berlaku sekarang,” katanya.

Perang ekonomi

Sementara itu, satu lagi sumber berkata, tindakan menutup ladang tersebut adalah tindakan kartel mengisytiharkan ‘perang ekonomi’ kepada negara.

Kata sumber, konspirasi sesama syarikat gergasi industri ayam itu terbukti menerusi format ayat dalam notis penghentian sementara operasi ladang ternakan masing-masing, yang menggunakan laras bahasa hampir sama bagi beberapa syarikat ternakan yang telah memberikan notis penutupan kepada kerajaan.

Difahamkan, notis penutupan ladang diserahkan kepada kerajaan melalui pihak ketiga.
Utusan Malaysia yang menyemak dua notis dari dua syarikat gergasi industri ayam dari dua negeri semalam, menemukan notis pemakluman penutupan adalah sama walhal kedua-duanya berlainan syarikat malah beroperasi di dua negeri.
Bahagian bawah notis tersebut ditandatangani dua pengarah syarikat berbeza.
“Ladang-ladang syarikat kami akan bercuti pada 21/05/2022 (Sabtu) sehingga 22/05/2022 (Ahad) disebabkan ayam-ayam hidup di ladang mengalami pertumbuhan yang lebih lambat dan berat badan tidak mencapai kadar yang sepatutnya ditangkap”. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN