KOTA TINGGI: Sebuah kapal tangki berdaftar di Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tanjung Sedili selepas disyaki berlabuh secara haram di kedudukan 22.6 batu nautika timur laut Tanjung Kelesa, petang semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, kapal itu ditahan pada pukul 3.20 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi rutin di perairan Johor Timur.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 24 kru lelaki termasuk nakhoda yang terdiri daripada 19 warga Vietnam dan lima warga Myanmar berumur antara 22 hingga 55 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri sah.
“Pemeriksaan ke atas dokumen kapal mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia. Kapal seterusnya ditahan dan nakhoda beserta seorang kru telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN









