Jual tanah lapangan terbang tak boleh dibatalkan

Jual tanah lapangan terbang tak boleh dibatalkan

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri tidak boleh membatalkan penjualan tanah untuk membina lapangan terbang Seri Iskandar di Perak Tengah kepada sebuah syarikat swasta kerana ia melibatkan perjanjian jual dan beli yang sah.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, malah proses penjualan tanah itu oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri (PKNP) adalah mengikut peraturan kerana ia mendapat kelulusan lembaga pengarah PKNP.

Katanya, penjualan tanah tersebut adalah hak PKNP.

“Tanah itu adalah tanah kerajaan yang telah diberikan kepada PKNP, bermakna tanah itu hak milik PKNP dan ia dijual oleh Lembaga Pengarah PKNP, ada mesyuarat, ada minit mesyuaratnya, bermakna ia telah menjualnya secara sah.

“Juga tidak ada peraturan yang menghendakkan PKNP terlebih dahulu mendapatkan (kebenaran) kerajaan negeri untuk menjualnya.

“Cuma apabila hendak tukar nama hak milik, itu kena datang balik kepada exco sebab mesyuarat Exco kerajaan negeri yang boleh meluluskan kebenaran pindah milik tapi bab penjualan itu adalah hak PKNP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Saarani berkata, penjualan tanah tersebut telah ada perjanjian jual dan beli yang sah namun setakat itu syarikat yang membeli tanah itu belum membuat bayaran penuh, bermakna pertukaran hak milik tanah belum boleh dilakukan.

Menurutnya, jika pembayaran penuh ke atas penjualan tanah itu telah dibuat, ketika itu barulah pertukaran hak milik boleh dilakukan.

“Tapi dari aspek jual dan beli tanah itu memang telah berlaku, cuma tunggu bayaran penuh baru boleh tukar nama.

“Sebab itu apabila Hamidah (Datuk Hamidah Osman) kata tanah itu masih di bawah PKNP, itu betul kerana hak milik tidak boleh ditukar selagi bayaran penuh belum dibuat,” katanya.

Saarani berkata, namun jika dalam perjanjian jual dan beli tanah itu ada klausa yang mengatakan jika syarikat pembeli gagal untuk membayar penuh dalam tempoh yang ditetapkan, maka perjanjian itu batal dan tanah tersebut perlu diserahkan kepada PKNP.

Mengenai tindakan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman membuat permohonan kaveat secara peribadi ke atas tanah tersebut hari ini bagi menghalang sebarang pembangunan ke atas tanah tersebut, Saarani berkata, tindakan itu boleh dibuat asalkan berlandaskan undang-undang.

“Saya tak boleh buat apa-apa sebab tanah itu tanah swasta yang telah ada tandatangan jual beli, jadi terpulang kepada dia (Hamidah).

“Kita tak boleh campur tangan sebab itu antara pihak swasta dan Hamidah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya