PETALING JAYA: Memandu ketika berada di bawah pengaruh dadah antara kesalahan yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan segelintir pemandu bas menerusi operasi khas dijalankan di seluruh negara sejak 29 April lalu.
Menerusi operasi berkenaan, sebanyak 28 terminal bas melibatkan 77 kenderaan awam diperiksa.
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, sepanjang tempoh itu juga, tiga pemandu bas yang didapati memandu di bawah pengaruh dadah dikesan.
Kata beliau, tindakan diambil dengan menggantung lesen ketiga-tiga individu itu dan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.
“Pada fasa pertama yang dilaksanakan sejak 25 hingga 28 April lalu, pemeriksaan teknikal dilakukan di depoh bas.
“Kini, operasi berkenaan memasuki fasa kedua melibatkan penguatkuasaan penuh yang akan dilaksanakan bermula 29 April lalu hingga 8 Mei ini,” katanya selepas Operasi Khas Teknikal JPJ di Terminal Bas Genting Highland sempena Ops Hari Raya Aidilfitri, di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata beliau, operasi berkenaan dilaksanakan untuk keselamatan pengguna serta memastikan kelancaran aliran trafik dan seterusnya mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya
Katanya, JPJ menjalankan pemantauan pengoperasian penuh kenderaan perkhidmatan awam khususnya bas ekspres dan bas persiaran.
“Ini sekali gus selaras dengan fasa peralihan negara dari fasa pandemik kepada endemik, yang mana sektor pelancongan menerima tempahan yang tinggi daripada orang ramai untuk menggunakan Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA).
“Pemantauan ini bertujuan memastikan bas ekspres dan bas persiaran mematuhi piawaian operasi yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334),” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, sebanyak 44,737 kenderaan diperiksa dan 8,936 saman telah dikeluarkan sejak 29 April sehingga 5 Mei lalu.
Ujarnya, jumlah saman yang dikeluarkan ini agak tinggi jika dilihat dan ini menunjukkan bahawa masih ramai pengguna jalan raya yang ingkar.
“Walhal pihak JPJ sebelum ini sentiasa mengingatkan agar pentingnya mematuhi peraturan jalan raya, namun ramai yang tidak mengendahkannya,” jelasnya.
Kata beliau, JPJ memantau tahap kepatuhan pemandu dan syarikat pengendali bas terhadap syarat lesen pengendali yang melibatkan syarat pemandu kedua, operasi kawasan yang dibenarkan serta kadar tambang yang dikenakan.
“Selain itu, bas ekspres dan bas persiaran juga hendaklah memiliki sistem brek kedua untuk beroperasi di persekitaran seperti di Genting Highlands.
“Tindakan tegas segera diambil sekiranya terdapat bas yang didapati gagal memenuhi piawaian teknikal yang melibatkan sistem brek, tayar, lampu, dan sistem teknikal lain,” katanya.
Lokman menambah, tindakan kompaun dan saman ke atas pemandu dan pengendali bas boleh dikenakan di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959.
“Jika didapati bas beroperasi melanggar syarat lesen pengendali, tindakan penggantungan lesen pengendali boleh dikenakan ke atas pengusaha bas selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 62, Akta 715,” tegasnya. – UTUSAN










