MELAKA: Meskipun sudah hampir lapan bulan rentas negeri dibenarkan termasuk kelonggaran beberapa prosedur operasi standard (SOP), namun nasib peniaga di Jonker Walk, Banda Hilir di sini tidak banyak berubah.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan pelancongan itu mendapati, banyak premis kekal ditutup dan beberapa lot kedai ditampal notis untuk dijual atau disewa.
Premis menjual makanan paling banyak dibuka sementara kedai pakaian, urutan kaki, barang antik dan cenderamata hanya boleh dikira dengan jari.
Peniaga kedai antik, Ivy Ting, 60, berkata, penutupan itu disebabkan penyewa tidak mampu bertahan biarpun sektor pelancongan dalam fasa pemulihan.
Menurutnya, kos sewaan kedai yang tinggi sehingga RM10,000 sebulan memaksa penyewa angkat kaki, sekali gus menjadikan kawasan yang dahulunya meriah dengan aktiviti perniagaan tidak ubah seperti ‘pekan mati’.
“Jualan barangan antik dan cenderamata sangat perlahan. Pengunjung yang singgah tidak membeli, sebaliknya datang untuk bertanya dan melihat saja.
“Seharian berniaga dan tidak dapat jual apa-apa sudah menjadi perkara biasa. Hujung minggu boleh dapat dua atau tiga pelanggan, tapi itu pun sukar.
“Saya masih bertahan sebab kedai ini milik saudara sendiri. Hanya kedai makan dan minuman menjadi tumpuan pelancong,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, pekerja restoran, Razlyn Duku, 27, mengakui, operasi perniagaan mengambil sedikit masa untuk pulih.
Katanya, restoran kini di fasa pengembangan seiring kehadiran pelancong dalam dan luar negara.
“Hujung minggu paling sibuk kerana pelanggan tidak putus-putus datang. Ada yang sanggup beratur untuk masuk. Pendapatan pada hujung minggu boleh cecah RM5,000 sehari.
“Pemilik juga memperbesarkan ruang makan sehingga ke tingkat atas. Bagi saya operasi restoran tiada masalah dan semakin baik setiap hari,” katanya. – UTUSAN










