Google minta 32 juta nyamuk jantan dilepaskan di California, Florida - Utusan Malaysia

Google minta 32 juta nyamuk jantan dilepaskan di California, Florida

GOOGLE merancang untuk melepaskan 32 juta nyamuk. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Gergasi teknologi Google kini merancang untuk menggunakan pendekatan unik ‘menentang serangga berbahaya dengan ‘serangga baik’ menerusi permohonan rasmi kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi melepaskan sehingga 32 juta ekor nyamuk jantan mandul di wilayah California dan Florida.

Langkah di bawah program Debug yang berjaya itu menyaksikan Google memanfaatkan kepakaran teknologinya untuk membiakkan ‘tentera’ nyamuk jantan mandul bagi mengurangkan populasi serangga pembawa penyakit. 

Umum mengetahui bahawa nyamuk merupakan haiwan paling maut di dunia yang mengorbankan lebih banyak manusia setiap tahun berbanding hidupan lain melalui penyebaran penyakit maut seperti denggi, virus West Nile, Zika, chikungunya dan malaria.

Berdasarkan notis daripada daftar persekutuan, Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), AS kini sedang meneliti permohonan Google untuk melepaskan sehingga 16 juta ekor nyamuk setiap tahun di Florida dan California bagi tempoh masa selama dua tahun. 

Pihak EPA akan memutuskan sama ada untuk meluluskan permit penggunaan eksperimen itu selepas tempoh maklum balas awam berakhir pada 5 Jun ini. Nyamuk jantan tidak menggigit mahupun membawa sebarang penyakit kepada manusia. 

Antara pendekatan utama yang sedang diuji oleh Google adalah dengan membiakkan nyamuk jantan disuntik dengan bakteria semula jadi yang dikenali sebagai Wolbachia. 

Bakteria ini berfungsi menyekat keupayaan nyamuk itu daripada menghasilkan zuriat apabila mengawan dengan nyamuk betina liar.

Menerusi penjelasan Google dalam satu hantaran blog, apabila nyamuk jantan dijangkiti bakteria itu mengawan dengan nyamuk betina liar, telur yang dihasilkan tidak akan menetas. 

Impaknya, populasi serangga berbahaya tersebut akan menjadi semakin mengecil bagi setiap generasi yang seterusnya.

Walaupun tindakan syarikat teknologi gergasi memasuki makmal dan membiakkan nyamuk yang dijangkiti bakteria kedengaran agak luar biasa, syarikat induk Google iaitu Alphabet sebenarnya tidak asing lagi dalam dunia sains. 

Sebelum ini, Verily Life Sciences iaitu sebuah syarikat kesihatan dan kecerdasan buatan (AI) telah menjadi penggerak utama di sebalik program Debug selama bertahun-tahun.

Verily, yang beroperasi sebagai anak syarikat Alphabet sehingga awal tahun ini menggunakan teknologi dan sains data untuk memerangi rantaian penyakit serta masalah kesihatan global lain. 

Bagaimanapun, menerusi e-mel daripada pihak Verily kepada akhbar The Guardian, Google telah mengambil alih sepenuhnya program Debug daripada portfolio Verily pada Disember 2024 lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN