Setiap projek pembangunan perlu dipercepat pelaksanaan: Raja Perlis - Utusan Malaysia

Setiap projek pembangunan perlu dipercepat pelaksanaan: Raja Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail pada majlis perasmian penggal persidangan keempat DUN Perlis ke-15 di Kompleks Seri Putra, di Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/ADIB AKHYAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Setiap projek pembangunan di negeri ini perlu dipercepatkan pelaksanaan agar rakyat dapat menikmati manfaat dalam tempoh yang munasabah.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, baginda turut menyeru agar semua jabatan dan agensi yang telah diluluskan peruntukan supaya mengambil langkah segera dalam melaksanakan projek serta memastikan perbelanjaan dapat disalurkan dengan cekap dan teratur.

Titah baginda, langkah ini amat penting bagi merancakkan aktiviti ekonomi negeri seterusnya membolehkan manfaat kitarannya dapat dirasai dengan lebih cepat oleh rakyat melalui peningkatan peluang pekerjaan, pendapatan serta aktiviti perniagaan tempatan.

“Kecekapan dalam pelaksanaan bukan sahaja meningkatkan keyakinan rakyat, malah memastikan sumber kewangan negeri dimanfaatkan secara optimum tanpa berlakunya pembaziran atau kelewatan yang tidak wajar,” titah baginda sempena Perasmian Penggal Persidangan Keempat, DUN Perlis Ke-15 di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.

Sebagai rekod, di bawah Rolling Plan kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RP5 RMK12), Perlis telah menerima peruntukan sebanyak RM632.56 juta melibatkan 188 projek dan daripada jumlah itu, sebanyak RM474.17 juta telah dibelanjakan, bersamaan 74.96 peratus pada tahun lalu.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, setiap perbelanjaan negeri hendaklah dilaksanakan secara berhemah, telus, berintegriti dan memberi pulangan maksimum kepada rakyat.

“Beta berpandangan, kemajuan yang sebenar bukan hanya diukur pada angka semata-mata, tetapi pada tahap kesejahteraan yang benar-benar dirasai oleh setiap lapisan masyarakat. Justeru itu, setiap dasar dan inisiatif hendaklah dirangka dengan teliti, berfokus kepada peningkatan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh, inklusif dan berterusan,” titah baginda.

Dalam masa sama, Tuanku Syed Sirajuddin turut menekankan kepentingan usaha menjana pendapatan kepada negeri serta meneroka sumber hasil baharu yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Titah baginda, dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin kompleks, kerajaan negeri perlu berani memikirkan kaedah-kaedah inovatif bersesuaian dengan potensi tempatan termasuklah memperkasa sektor-sektor bernilai tinggi, menarik pelaburan strategik serta memanfaatkan kelebihan geografi dan sumber sedia ada.

“Dalam hal ini, pendekatan yang diambil hendaklah berasaskan amalan terbaik yang telah terbukti berjaya, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa, dengan mengambil kira kesesuaian konteks negeri.

“Tumpuan wajar diberikan kepada inisiatif yang berimpak tinggi dan mampu menjana pulangan jangka panjang, bukannya program-program bersifat sementara yang kurang memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN