GEORGETOWN: Sebanyak lapan kes terjun dari Jambatan Pulau Pinang direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang sepanjang bulan ini dengan kekerapan dua hingga tiga panggilan kecemasan diterima setiap minggu.
Pengarahnya, Saadon Mokhtar berkata, jambatan itu merekodkan kes bunuh diri paling banyak bulan ini berbanding hanya empat kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Menurut beliau, sebanyak 15 panggilan kes terjun jambatan diterima pihaknya sejak Januari lalu membabitkan lapan lelaki dan tujuh wanita.
“Kes terjun jambatan dilaporkan semakin meningkat dan data yang dikemas kini pada 24 Mei lalu adalah yang tertinggi sejak Januari lalu berbanding 14 kes direkodkan sepanjang tahun 2021.
“Mengikut data, kekerapan kes terjun dari Jambatan Pulau Pinang berlaku di Kilometer 4.0 arah pulau menghala ke Seberang Perai,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Bunuh diri
Kata beliau, statistik bagi tahun ini juga menunjukkan kes bunuh diri dari Jambatan Pulau Pinang adalah paling tinggi berbanding kes terjun dari bangunan perumahan atau komersil di negeri ini
“Kemungkinan jambatan sepanjang 13.5 kilometer ini menjadi destinasi pilihan untuk bunuh diri disebabkan lokasinya yang mudah diakses dan keberangkalian untuk mati akibat lemas dibawa arus adalah tinggi.
“Status keberangkalian mangsa ditemui mati atau selamat dan kurang risiko kecederaan jika selamat. Bagaimanapun setakat ini, majoriti mangsa terjun jambatan ditemui mati,” ujarnya.
Untuk rekod, seramai sembilan mangsa ditemukan mati lemas manakala enam lagi berjaya diselamatkan nelayan pantai dan pasukan penyelamat selepas terjun dari jambatan tahun ini.
Saadon berkata, pihaknya akan memastikan pasukan JBPM tiba di lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan dalam tempoh 10 hingga 15 minit.
“Mayat mangsa kebiasaannya ditemukan terapung berdekatan perairan Pulau Jerjak dan juga perairan sebelah Persiaran Gurney yang dibawa arus mengikut aliran air pasang atau surut.
“Selalunya, operasi mencari dan menyelamat dilakukan dengan kaedah carian permukaan (water surface searching) dengan menggunakan aset bot bersama agensi-agensi penyelamat lain,” katanya yang menambah, operasi menyelamat akan mengambil masa maksimum selama tiga hari.
Individu bermasalah
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed turut menyokong bahawa semakin ramai individu bermasalah akan menggunakan jambatan satu sebagai lokasi bunuh diri.
Kata beliau, pihaknya yang terlibat dalam operasi carilamat mangsa menerima sebanyak tujuh kes perbuatan itu sepanjang bulan ini.
Jelas beliau, situasi itu merupakan satu perkembangan atau trend terkini yang tidak sihat dan amat membimbangkan.
“Maritim Malaysia berpendapat perlu ada satu tindakan drastik dari pelbagai pihak sama ada dari kerajaan negeri atau Persekutuan mahupun badan-badan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani kejadian seumpama ini dari terus berlaku,” katanya.
Tambah beliau, orang awam juga diminta melaporkan penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.
Dalam kejadian pada pukul 2.40 petang, Ahad lalu, seorang wanita berusia 27 tahun terjun di Kilometer (KM) 7.4 jambatan itu dari arah pulau menghala ke Perai.
Bagaimanapun, wanita yang pergi ke jambatan itu dengan menunggang motosikal KTNS Rhino 125 berjaya diselamatkan oleh nelayan yang berada berdekatan.
Kurang 12 jam kemudian iaitu pada pukul 3 pagi Isnin lalu pula, seorang lagi wanita berusia 22 tahun terjun di KM 8 jambatan itu selepas meninggalkan kereta jenis Perodua Axia dan barangan peribadinya di atas jambatan.
Pada Sabtu lalu, seorang wanita berusia 43 tahun cuba terjun di KM 3.4 jambatan itu dalam kejadian pukul 3.35 petang dengan video kejadian tular di media sosial.
Namun, wanita berkenaan diselamatkan seorang anggota bomba yang tidak bertugas yang ketika kejadian tetapi kebetulan berada di lokasi kejadian.- UTUSAN










