SEPANG: Rakyat Malaysia harus sedar bahawa permasalahan yang berlaku di Palestin pada ketika ini tidak sekadar melibatkan isu agama Islam sebagaimana dimomokkan media Barat.
Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad sekali lagi mengulangi pendirian kerajaan bahawa isu Palestin ialah isu kemanusiaan antarabangsa.
“Isu yang dihadapi di Palestin, bukan hanya sebuah isu agama sahaja tetapi ia merupakan isu kemanusiaan sejagat tanpa mengira status agama, bangsa dan negara,” tegasnya ketika berucap merasmikan penutup Sidang Kemuncak Ulama Islam 2022 mengenai Pembebasan Al-Aqsa di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, di sini hari ini.
Persidangan tiga hari itu turut dihadiri Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Palestin, Sheikh Hatem Mohammad Helmi Bakri serta Pengarah dan Imam Masjidil Aqsa, Sheikh Dr. Hammam Said.
Acara yang disertai sejumlah 150 ulama dari lebih 90 negara dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan Yayasan MyAqsa dengan kerjasama Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
Mengulas lebih lanjut, Idris mengulangi kenyataannya yang selari dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika perasmian sidang tersebut pada Jumaat lalu.
KEMANUSIAAN
Malah beliau berkata, isu Palestin yang bermula sejak 1948 lalu lebih kepada permasalahan kemanusiaan global dan tiada kena mengena dengan penindasan umat Islam semata-mata.
“Bahkan isu Palestin ini sebenarnya lebih membabitkan persoalan isu hak asasi manusia sebagaimana yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sendiri,” tambahnya.
Ia merujuk sebanyak lebih 130 resolusi yang pernah diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB di samping menerusi siri mesyuarat Majlis Keselamatan badan dunia itu sejak 1967 lalu.
Justeru, beliau mengimbau penderitaan jutaan penduduk Palestin termasuk yang beragama Kristian sendiri dinafikan hak mereka untuk bebas menduduki tanah air itu lebih 70 tahun.
Usaha pembebasan Al-Quds daripada penjajahan rejim Zionis bukan sahaja tanggungjawab rakyat Palestin atau bangsa Arab semata-mata, tetapi merupakan peranan seluruh manusia.
Ia ujar Idris, menjadi kewajipan bagi setiap kita untuk menyumbang dengan apa juga cara dan usaha daripada isu Palestin terus ‘dinodai’ kesuciannya oleh Yahudi Zionis pada ketika ini.
“Ayuh kita mengambil ibrah kisah pembebasan Baitulmaqdis oleh Salahuddin al-Ayyubi yang menghabiskan hayat berkorban dengan formula kejayaan ialah penyatuan ummah,” katanya.
Bagaimanapun beliau kesal kerana hari ini, perpecahan kembali berlaku dengan umat Islam lebih berbalah meskipun dalam isu kecil yang amat merugikan kesatuan umat Islam sendiri.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia akan terus konsisten memperjuangkan isu Palestin dan memberi sokongan sama ada politik, ekonomi atau moral.
Solidariti itu katanya, dibuktikan dengan pendirian negara teguh tidak mengadakan diplomatik dengan negara haram Israel ketika ada negara Arab sudah menjalinkan hubungan rasmi. – UTUSAN