ISLAMABAD: Pakistan menyatakan sokongan penuh kepada Iran dan menyeru perpaduan dalam kalangan negara Islam bagi menentang tindakan agresif Israel, susulan serangan terhadap kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran pada Jumaat lalu.
“Israel menyerang Iran, Yemen dan Palestin. Jika negara-negara Islam tidak bersatu sekarang, setiap negara bakal menerima nasib yang sama,” kata Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif ketika berucap di Dewan Perhimpunan Kebangsaan.
Beliau menggesa semua negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel agar segera memutuskan hubungan tersebut selain mencadangkan agar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) segera bersidang untuk merangka strategi bersama.
“Pakistan mempunyai hubungan erat dengan Iran dan kami berdiri teguh bersama Tehran dalam saat sukar ini. Kami akan menyokong Iran di semua forum antarabangsa bagi melindungi kepentingan mereka,” tambah Asif.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar turut mengecam serangan Israel terhadap Iran dan menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Iran.
Beliau menyatakan solidariti penuh Pakistan kepada kerajaan dan rakyat Iran dan dalam perbualan telefon bersama Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, Dar mengulangi komitmen Islamabad terhadap keamanan dan kestabilan di rantau tersebut.
Serangan pada awal pagi Jumaat itu telah meragut lebih 104 nyawa termasuk ketua staf angkatan bersenjata Iran, komander tertinggi Pengawal Revolusi Islam (IRGC) serta beberapa saintis nuklear.
Serangan balas Iran menggunakan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel pula dilaporkan menyebabkan tiga maut dan lebih 170 cedera.
Beberapa negara termasuk Turkiye dan Pakistan telah mengecam keras tindakan Israel dan menyeru tindakan segera masyarakat antarabangsa.










