Perang Iran tidak halang Zionis terus ragut nyawa penduduk Gaza - Utusan Malaysia

Perang Iran tidak halang Zionis terus ragut nyawa penduduk Gaza

RIBUAN penduduk Palestin bertempiaran mengelak serangan tentera Israel ketika mengangkut bantuan dari pusat agihan di tengah Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA, Wilayah Palestin: Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan seramai 41 orang terbunuh dalam operasi ketenteraan oleh tentera Israel semalam, dengan lebih separuh daripada mangsa dikatakan sedang menunggu bantuan ketika diserang.

Pegawai agensi itu, Mohammad al-Mughayyir, berkata seramai 41 orang syahid akibat pengeboman berterusan Israel ke atas Gaza, termasuk 23 yang sedang menunggu bantuan.

“Hospital Al-Awda di tengah Gaza menerima lapan mayat dan 125 mangsa yang cedera selepas serangan dron Israel menyasarkan orang ramai yang berkumpul berhampiran pusat agihan bantuan di koridor Netzarim.

“Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza pula menerima 11 mayat susulan satu lagi serangan ke atas orang awam yang mencari bantuan.

“Manakala empat lagi mangsa dibawa ke Hospital Al-Aqsa dan Hospital Nasser di bahagian selatan,” katanya sambil menambah 18 orang lagi terbunuh dalam pelbagai serangan oleh tentera Israel di utara dan selatan wilayah itu, termasuk tujuh orang di Bandar Gaza.

Bagaimanapun, tentera Israel enggan memberi maklum balas mengenai perkara itu. Sekatan ketat media oleh Israel serta kesukaran akses di lapangan menyebabkan AFP tidak dapat mengesahkan jumlah korban yang dilaporkan secara bebas.

Sejak Gaza Humanitarian Foundation (GHF) iaitu sebuah organisasi disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mula beroperasi pada akhir Mei, puluhan rakyat Palestin dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan di pusat agihan, menurut agensi berkenaan.

GHF, yang dikatakan sebagai inisiatif swasta dengan pembiayaan yang tidak jelas, mula beroperasi pada 26 Mei selepas Israel memutuskan semua bekalan ke Gaza selama lebih dua bulan, suatu tindakan yang mencetuskan kecaman global dan amaran mengenai ancaman kebuluran.

Menurut sumber perubatan, Hospital Nasser antara satu daripada kemudahan kesihatan terakhir yang masih sebahagian beroperasi, turut disasarkan dalam serangan terkini Israel.

Kementerian Telekomunikasi Pihak Berkuasa Palestin berkata, tentera Israel menyerang kabel gentian optik, menyebabkan gangguan komunikasi besar-besaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN