IPOH: Seorang individu membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta siasatan dibuat terhadap penyebaran gambar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan seorang wanita yang memeluk lengan kirinya dalam satu majlis yang tular dalam media sosial.
Individu itu yang merupakan rakan kepada keluarga akrab Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor membuat laporan di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya, Selangor petang semalam
Dalam laporan tersebut, individu yang enggan dikenali itu mahu siasatan dijalankan sekiranya hasil siasatan membuktikan gambar berkenaan telah diedit dan keterangan pada gambar juga tidak benar.
Malah, individu itu meminta tindakan diambil dari sudut undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan gambar beserta keterangan gambar yang tidak benar.
“Saya telah menunjukkan gambar dan caption kepada Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor di mana kedua-dua mereka sangat terkejut memandangkan ia tidak benar sebelum meminta bantuan saya membuat laporan kepada SKMM bagi tindakan selanjutnya.
“Saya membuat laporan ini bagi pihak Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah dan seperti yang mereka minta, mereka memohon satu siasatan diambil sekiranya hasil siasatan membuktikan gambar berkenaan diedit dan caption terbabit tidak benar.
“Saya juga memohon tindakan diambil terhadap pihak berkaitan dari sudut undang-undang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sejak semalam, tular sekeping gambar menunjukkan seolah-olah Najib dalam satu majlis dalam sebuah premis persendirian dengan seorang wanita yang memeluk erat lengan kirinya dan diapit empat individu lain.
Wanita terbabit menjadi tanda tanya dalam kalangan netizen di mana beliau kelihatan tersenyum dan mesra berada di sebelah Najib, sehingga ada yang mengatakan wanita misteri itu isteri baharu Najib.
Sementara itu, jurucakap MCMC ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan tersebut semalam.- UTUSAN