KUALA NERUS: Industri pelancongan negara masih belum menerima tempias dengan isu kemerosotan nilai ringgit pada masa ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kadar tempahan bilik melonjak, malah kebanyakan penginapan penuh termasuk pada musim cuti perayaan baru-baru ini.
“Walaupun di luar sana terkesan dengan isu kenaikan harga barang, tetapi situasinya berbeza untuk bidang pelancongan, barangkali kerana rakyat sudah jemu terkurung dan mahu melancong.
“Tempahan hotel kita penuh dan kalau itu menjadi indikator, maka saya rasa kejatuhan ringgit belum lagi memberi kesan negatif kepada industri pelancongan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Rewang Raya sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia 2022 di Masjid Seberang Takir di sini hari ini.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, harga penginapan dan perkhidmatan termasuk aktiviti air di pulau-pulau peranginan di Terengganu diramal meningkat sehingga 30 peratus susulan kejatuhan nilai ringgit.
Kenaikan mendadak berkenaan bagi menyerap kos perbelanjaan tinggi termasuk penggunaan bahan api dan barangan lain akibat ketidaktentuan mata wang negara ketika ini.
Nancy berkata, kementeriannya turut menyalurkan subsidi termasuk baucar diskaun untuk hotel, penerbangan, pengangkutan darat, spa dan lain-lain bagi mengurangkan bebanan rakyat sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan domestik.
Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan penggiat pelancongan di negara ini agar tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga penginapan atau perkhidmatan masing-masing secara mendadak.
“Sukar untuk kita kawal jika ada kenaikan harga penginapan, jadi kita minta pengguna bersikap bijak dalam menilai dan membuat perbandingan ketika memilih hotel atau lain-lain.
“Kadang-kadang ada juga pengguna yang tidak kisah membayar harga mahal kerana mahukan kualiti, oleh itu kita serahkan kepada mereka untuk menilainya,” katanya.- UTUSAN










