fbpx

Ibu rayu bantu bawa pulang anak, ditipu sindiket pekerjaan di Myanmar

LOKE Chooi Tip (kiri) menunjukkan gambar anaknya di dalam telefon bimbitnya yang didakwa ditipu sindiket penipuan pekerjaan sehingga dibawa ke Myanmar - FOTO/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kelegaan seorang ibu melihat anaknya berusia 19 tahun mendapat peluang pekerjaan di Kuala Lumpur, bulan lalu berakhir dengan kebimbangan apabila mengetahui anaknya kini berada di Lay Kay Kaw, Myanmar gara-gara menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaaan.

Bagaimanapun, Loke Chooi Tip, 56, yang bekerja sebagai tukang jahit berkata, Koh Sheng Yur yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu berjaya dihubungi 15 April lalu dan memaklumkan dia berada di Thailand sekali gus merayu membawanya pulang.

Menurutnya, sekitar 2 Mei lalu, Sheng Yur berkongsi lokasi dengan adik-beradiknya di Instagram dan sejak itu mereka hanya berkomunikasi melalui media sosial untuk mengetahui perkembangan lanjut.

“Sehingga kini saya masih tertanya-tanya bagaimana Sheng Yur berada di Myanmar kerana pasport antarabangsanya masih disimpan di rumah.

“Sukar untuk kami terima kerana Sheng Yur sentiasa berada di depan mata saya dan bila berlaku begini membuatkan saya sering berfikir sama ada dia sudah makan, bagaimana dia dirawat dan bila dia akan pulang. Ini adalah tempoh paling lama dia berjauhan dengan keluarga.

“Kali terakhir saya bercakap dengan Sheng Yur, dia dalam ketakutan kerana sedang menangis. Saya tidak tahu tentang keseluruhan kejadian itu…bagaimana dia menyeberangi sempadan antarabangsa ke Thailand dan Myanmar tanpa dokumen yang betul,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang, di sini hari ini. 

Dalam pada itu Chooi Tip berkata, Sheng Yur ke Kuala Lumpur pada 6 April selepas memaklumkan kepada keluarga bahawa  telah mendapat pekerjaan di sebuah syarikat mata wang kripto.

“Pada mulanya dia selalu menghubungi saya  dan tiba-tiba pada 13 April, saya tidak dapat menghubunginya lagi.

“Kemudian pada hari yang sama, suami saya menerima mesej daripada salah seorang rakan Sheng Yur mengatakan anak saya berada di Thailand dan telah menelefon untuk meminjam RM60,000 untuk pulang ke rumah.

“Saya memaklumkan kepada rakannya itu mustahil untuk anaknya pergi ke Thailand tanpa pasportnya. Rakannya itu ada menasihati saya untuk membuat laporan polis dan mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa untuk mengesan Sheng Yur,” katanya.

Sementara itu, Chooi Tip memberitahu pada 15 April, dia menerima panggilan WhatsApp daripada Sheng Yur mengatakan tidak lagi mahu bekerja di Thailand dan ingin pulang ke rumah.

“Namun ada lelaki yang memberitahu bahawa anak saya selamat dan jika mahu dia pulang, kami perlu membayar wang tunai sebagai pampasan kepada majikannya. 

“Saya memaklumkan kepada Sheng Yur supaya segera menghubungi abangnya untuk memberi maklumat tentang keberadaannya dan itu adalah kali terakhir kami bercakap. Kini kami hanya berhubung dengan melalui mesej sahaja dan tidak pasti sama ada dia atau orang lain yang membalasnya,” katanya.

Sementara itu, Chon Siang berkata, dipercayai perkara itu melibatkan sindiket penipuan pekerjaan yang telah mengambil rakyat Malaysia sebagai ejen mereka dengan tawaran pekerjaan di luar negara.

“Kami telah membaca banyak artikel berita mengenai penipuan sebegitu di akhbar dan saya harap kerajaan dapat membantu  menyelesaikan perkara ini. 

“Sebagai permulaan saya akan menghubungi Kedutaan Malaysia di Yangon (Myanmar) untuk melihat bagaimana kita boleh membawa pulang Sheng Yur dan rakyat Malaysia yang lain dengan selamat…dan berharap Kementerian Luar juga melihat isu ini dengan serius,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI