PETALING JAYA: Ibu bapa kini berada dalam ketakutan apabila kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) semakin meningkat sehingga merekodkan sebanyak 22,463 kes setakat ini.
Peningkatan tersebut adalah 12.8 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 1,752 kes.
Kanak-kanak yang dijangkiti juga berisiko mati kerana virus HFMD turut menyerang organ dalaman seperti injap jantung dan paru-paru jika gagal diberikan rawatan awal.
Sehingga kini, sebanyak 767 wabak dilaporkan membabitkan tiga negeri merekodkan kes tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 259 kes (33.7 peratus), diikuti Selangor dengan 100 kes (13.0 peratus) dan Perak 98 kes (12.8 peratus).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kes HFMD banyak menyerang kanak-kanak berumur bawah enam tahun iaitu sebanyak 21,508 kes (96 peratus), diikuti tujuh hingga 12 tahun iaitu 729 kes (tiga peratus) dan selebihnya berlaku dalam lingkungan umur lebih 12 tahun.
Menurut beliau, perkembangan semasa HFMD kini membimban gkan apabila penyakit itu muncul ketika negara masih ‘berlawan’ dengan Covid-19 dan kes-kes denggi.
Ambil langkah bendung HFMD
Katanya, kerajaan perlu mengambil langkah segera membendung wabak HFMD kerana penyakit itu boleh menyebabkan kematian jika ia menyerang organ dalaman mangsa.
“Punca utama HFMD adalah penularan dua virus iaitu Coxsackievirus A16 dan Enterovirus yang boleh merebak melalui udara, sentuhan langsung dan melalui najis daripada orang dijangkiti.
“Penyakit ini sama seperti Covid-19 dan denggi iaitu tiada ubat, malah lebih membimbangkan adalah bagi HFMD tiada vaksin khusus seperti Covid-19. Oleh itu, pencegahan terbaik adalah menjaga kebersihan sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Sharifa Ezat menggesa ibu bapa supaya tidak mengambil mudah jika melihat anak-anak mempunyai simptom seperti ruam dan demam kerana kemungkinan mereka dijangkiti penyakit HFMD atau Covid-19 mahupun demam denggi.
Katanya, Covid-19 boleh dikesan melalui alat ujian kendiri yang mudah dilakukan manakala ujian pengesanan HFMD ialah melalui swab tekak atau najis pesakit dan kultur sekali gus memerlukan masa.
“Jadi ibu bapa jika nampak anak-anak ada simptom ruam, ulser atau demam, silalah bawa mereka ke klinik dengan segera kerana agar rawatan dapat diberikan lebih awal dan mengelakkan keadaan bertambah buruk,” jelasnya.
Dr. Sharifa menasihatkan ibu bapa untuk menjaga kebersihan anak-anak terutamanya yang dihantar ke tadika atau pusat jagaan yang mudah dan terdedah kepada jangkitan.
“Selain itu, tadika atau pusat jagaan perlu ditutup serta-merta jika wujud penularan HFMD walaupun melibatkan seorang kanak-kanak kerana tidak mahu berlaku penularan lebih serius,” katanya.
Selangor catat
6,748 kes
Sementara itu di SHAH ALAM, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, jumlah kes HFMD di negeri ini masih kekal melebihi paras amaran apabila sebanyak 6,748 kes sudah dinotifikasi sehingga tempoh 7 Mei lalu.
Menurutnya, terdapat 118 kluster HFMD dilaporkan dengan 95 daripadanya melibatkan kluster taska, tadika dan pusat jagaan harian, namun jumlah kes mencatatkan penurunan sebanyak 40 peratus.
“Majoriti kes adalah Coxsackievirus A16 (CA16) iaitu 33 peratus diikuti Enterovirus 71 (EV71) (20) manakala lain-lain kes (47). Tiada kematian dilaporkan di Selangor setakat ini.
“Penurunan itu dipercayai berlaku berikutan cuti Aidilfitri dan kebanyakkan pusat jagaan serta institusi pendidikan ditutup,” jelasnya.
Kata Dr. Sha’ari lagi, orang ramai terutama pengusaha dan penjaga kanak-kanak diminta terus melaksanakan langkah berwaspada bagi mengekang peningkatan kes selepas cuti perayaan dengan memastikan kebersihan premis terutama lantai, bilik air dan peralatan yang digunakan kanak-kanak.
Dalam pada itu katanya, kes demam denggi di Selangor turut mencatatkan peningkatan 70 peratus iaitu sebanyak 9,357 kes dilaporkan setakat ini.
Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan negeri, jumlah itu meningkat 3,854 kes berbanding minggu epid (ME) sama pada tahun lalu.
Menurutnya, sebanyak 470 kes denggi dilaporkan pada ME18 sepanjang tempoh tempoh seminggu bermula 1 hingga 7 Mei lalu yang mana lima daerah mencatatkan kes tertinggi adalah Petaling iaitu 3,481 kes, Klang (3,197), Hulu Langat (2,008), Gombak (937) dan Sepang (228).
“Jumlah itu mencatatkan penurunan 28.4 peratus berbanding 656 kes pada minggu sebelumnya. Kes denggi yang dilaporkan sehingga kini bagaimanapun meningkat sebanyak 70 peratus.
“Jumlah lokaliti yang aktif adalah sebanyak 240 iaitu meliputi perincian lokaliti ‘panas’ iaitu 42, wabak tidak terkawal (24) selain wabak terkawal dan wabak baru (174). Lokaliti panas masing-masing 25 di daerah Petaling, Klang (8), Hulu Langat (6) dan masing-masing satu di Sepang serta Kuala Langat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dr. Sha’ari menambah, satu kes kematian didaftarkan setakat ini sama seperti minggu sama pada tahun lalu, justeru beliau meminta komuniti di kawasan kediaman melaksanakan aktiviti pembersihan tempat pembiakan nyamuk Aedes secara berkala. – UTUSAN
Simptom HFMD
* Demam.
* Sakit tekak.
* Sakit kepala.
* Hilang selera makan.
* Ulser pada tekak, mulut dan lidah.
* Ruam dengan vesikel pada tangan, kaki dan kawasan diaper.
Punca HFMD
* Disebabkan oleh virus daripada kumpulan enterovirus yang tergolong di dalam keluarga picornavirus.
* Virus penyebab HFMD boleh terdapat di dalam kerongkong dan najis dan merebak melalui sentuhan terus dengan air liur dan najis mereka yang berpenyakit
Langkah-langkah pencegahan
* Dapatkan nasihat doktor jika anak-anak punyai simptom HFMD.
* Pantau tingkah laku dan segera membawa anak ke hospital jika tidak mahu makan, minum, muntah dan cepat mengantuk.
* Elakkan menghantar anak ke pusat jagaan atau tadika yang mempunyai kanak-kanak simptom HFMD.
* Sapu dan bersih mulut, hidung dan tangan anak-anak dengan tisu.










