HFMD: meningkat 27 kali ganda; 3 kes di ICU - Utusan Malaysia

HFMD: meningkat 27 kali ganda; 3 kes di ICU

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sehingga kini, terdapat tiga kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU). 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama dan kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan disahkan dijangkiti EV71. 

 “Bagi kes pertama dan kedua ini masih di bawah pemantauan rapi di ICU manakala kes ketiga dimasukkan ke ICU kerana pemantauan selepas pembedahan perut. 

“Kes ketiga ini telah pun dipindahkan ke wad pembedahan biasa pada 27 Mei untuk pemantauan lanjut. Survelan enterovirus mendapati tiga virus utama menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun ini iaitu Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi tahun ini sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 21/2022 (28 Mei), sejumlah 65,535 kes HFMD telah dilaporkan iaitu peningkatan 27 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu (semasa pandemik Covid-19) iaitu 2,333 kes. 

 “Jika dibandingkan dengan tempoh sama pada tahun 2019 (sebelum pandemik Covid-19) dengan kes sebanyak 29,846 kes, ia menunjukkan peningkatan 1.2 kali ganda. 

“Manakala kes HFMD yang dilaporkan bagi ME 21/2022 adalah 18,602 kes berbanding 15,548 kes pada ME 20/2022 iaitu peningkatan sebanyak 19.6 peratus,” ujarnya. 

Noor Hisham berkata, sehingga 28 Mei, Selangor menyumbang jumlah kes HFMD tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 18,525 kes (28.27 peratus), diikuti oleh Kuala Lumpur dan Putrajaya 8,088 kes (12.34 peratus), Perak 5,810 kes (8.87 peratus), Kelantan 4,905 kes (7.48 peratus) dan Sabah 4,077 kes (6.22 peratus). 

Katanya lagi, sebanyak 59,831 kes HFMD atau 91 peratus dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah dan 4,593 kes atau tujuh peratus adalah kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.

Sementara itu, ujarnya, terdapat 1,505 wabak dilaporkan di Malaysia dengan tiga negeri mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya 502 wabak (33.4 peratus), diikuti Selangor 172 wabak (11.4 peratus) dan Perak 168 wabak (11.2 peratus).

Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah iaitu 913 wabak (61 peratus) diikuti di rumah persendirian dengan 526 wabak (35 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 51 wabak (tiga peratus). –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN