MELAKA: Sebanyak 20 buah tadika, taska dan premis persendirian di negeri ini diarahkan tutup serta-merta, susulan penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, sehingga semalam, jangkitan HFMD mencatatkan peningkatan kepada 1,633 kes berbanding 1,378 kes pada 14 Mei lalu.
Katanya, semua tadika, taska dan premis persendirian itu diarahkan tutup selama 10 hari.
“Kita tengok kepada keadaan, ada beberapa premis yang diarahkan tutup selepas kita kesan lebih empat kanak-kanak mengalami gejala awal seperti demam.
“Kita telah meminta semua taska memberi kerjasama kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) supaya tindakan awal pencegahan dapat dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Mega Penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) di Banda Hilir di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mengikut pecahan, sebanyak lapan tadika ditutup, taska (enam), premis persendirian (empat) dan pusat jagaan (dua).
“Penutupan premis melibatkan ketiga-tiga daerah di negeri ini, namun mengikut jumlah kes Melaka Tengah mencatatkan kes tertinggi iaitu 772 kes, diikuti Alor Gajah (516 kes) dan Jasin (345 kes).
“Kita telah memberi amaran kepada pemilik premis untuk tidak ingkar dengan arahan penutupan atau tindakan boleh diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.
Sementara itu, dalam operasi dijalankan seramai lapan individu berusia antara 18 hingga 40 tahun dikenakan kompaun selepas dikesan merokok di kedai makan. – UTUSAN