PUTRAJAYA: Penggemar durian di Semenanjung Malaysia tidak perlu berasa risau kerana purata harga runcit Raja Buah itu ketika ini didapati masih stabil di bawah RM100 sekilogram.
Demikian data semasa harga buah tersebut yang disiarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi infografik disiarkan laman sosial agensi berkenaan, semalam.
Berdasarkan paparan itu, varieti D200 atau lebih dikenali sebagai Duri Hitam muncul sebagai paling mahal ketika ini dengan purata harganya mencecah RM90 bagi setiap satu kilogram.
Dikenali sebagai Ochee, klon ini mula didaftarkan penanam asalnya, Leow Cheok Kiang di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dengan Jabatan Pertanian Malaysia pada 2016.
Harganya kini lebih tinggi berbanding D197 yang lebih popular disebut sebagai Raja Kunyit atau Musang King dengan harga puratanya direkodkan pihak FAMA sebanyak RM60 sekilogram.
Klon durian ini mula didaftarkan penanam asalnya, Wee Chong Beng pada 1993 di Tanah Merah, Kelantan sebelum berkembang ke Pahang serta beberapa negeri lain di Semenanjung.
FAMA turut melaporkan dua varieti buah itu mencatatkan harga runcit purata yang serupa iaitu RM35 sekilogram melibatkan D168 atau dirujuk IOI serta D24 atau juga dikenali XO Bukit.
Rekod Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan D168 mula ditanam oleh Hasmah Hashim di Muar, Johor pada 1989 manakala D24 pula tumbuh liar di Bukit Merah, Perak sejak 1937.
Uniknya, satu lagi varieti kebetulan berkongsi kod D24 tetapi popular disebut baka Sultan yang didaftar pada 1934 dengan asal juga di Bukit Merah, dijual murah iaitu RM30 sekilogram.
Menariknya, FAMA melaporkan harga klon ini sama dengan D175 atau lazim dikenali Udang Merah yang tiada diketahui penanam asal namun didaftar di Pulau Pinang pada 1990.
Bagi mereka yang ingin membeli dengan harga rendah, jangan bimbang kerana ada klon kampung kahwin dan varieti kampung yang masing-masingnya dijual runcit RM25 dan RM18.
Dalam pada itu, agensi tersebut turut memaparkan tiga varieti durian premium popular dari Thailand adalah berpatutan dengan paling mahal Puangmanee iaitu RM35 sekilogram.
Sementara klon Mont Thong atau juga disebut sebagai Bantal Mas dengan harga purata RM20 manakala harga Chanee atau Tembaga pula yang paling rendah iaitu RM18 sekilogram. – UTUSAN