Hanya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa terbakar

Hanya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa terbakar

BEBERAPA orang jiran yang tinggal di rumah sewa bertentangan menunjukkan keadaan deretan rumah yang telah musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Jenderam Hilir, Dengkil, Selangor. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Sudahlah diuji dengan musibah banjir pada Disember tahun lalu, kini penghuni rumah sewa di Kampung Jenderam Hilir di sini hanya tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dijilat api dalam satu kejadian kebakaran malam tadi.

Penghuni, Zalina Zakaria, 38, menyifatkan insiden yang berlaku itu sebagai dugaan berganda buat dirinya serta individu lain yang turut menyewa di lapan buah rumah lagi.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama suami serta empat anak tiada di rumah kerana keluar untuk membeli barangan keperluan sebelum menerima panggilan daripada salah seorang jiran yang tinggal berhadapan memaklumkan kediamannya sudah hangus dijilat api.

 

ZALINA ZAKARIA

“Ketika kejadian memang semua tiada di rumah, kami keluar selepas waktu Maghrib untuk beli barang dapur dan barang berniaga kerana saya menjual ais krim Malaysia.

“Masa terima panggilan sekitar pukul 10 malam memang kami sudah hampir tiba di rumah dan hanya tergamam selepas melihat sendiri keadaan kediaman yang sudah hangus tanpa sempat menyelamatkan barangan berharga, wang tunai serta tiga buah peti sejuk beku dengan nilai anggaran kesemua kira-kira RM20,000,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Balai Raya Taman Desa Jenderam Hilir di sini hari ini.

Tambah Zalina lagi, walaupun terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan barangan berharga mahupun dokumen penting, dia tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan yang menimpa keluarganya.

Sementara itu, seorang tukang urut, Suzila Sunari, 40, berkata, walaupun terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda kepunyaannya, namun dia tetap bersyukur kerana suami, anak-anak serta lima kucing peliharaannya terselamat.

Cerita Suzila, semasa kejadian hanya suaminya, Mohd. Ridzuan Ali, 42, serta dua anak berusia 12 dan lima tahun berada di rumah kerana dia keluar ke rumah seorang pelanggan di Kajang Mutiara.

“Memang terkejut selepas dimaklumkan tentang kejadian yang berlaku, suami yang berada di rumah pun tak sempat nak capai apa-apa barang hanya bawa anak-anak keluar bersama kucing.

“Selepas kebakaran dikawal oleh anggota bomba, saya cuba juga cari barangan yang masih boleh digunakan dan hanya menjumpai tabung berisi wang tunai tapi barang kemas saya yang bernilai RM10,000 tidak berjaya ditemukan,” katanya.

Seorang saksi kejadian, Syamhuri Asmawi, 57, menceritakan api marak dengan begitu cepat melibatkan bahagian bumbung rumah selain berlaku bunyi letupan kecil.

Jelas Syamhuri yang tinggal di rumah sewa bertentangan lokasi kejadian, dia mula melihat kepulan asap dan api keluar dari rumah kedua itu sekitar pukul 9 malam.

“Saya minta isteri dan anak untuk mengetuk semua deretan pintu rumah yang terlibat, pada mulanya kami ingat penghuni di rumah kedua itu berada di dalam jadi kami menjerit sekuat hati, rupanya mereka sekeluarga keluar untuk membeli barangan.

“Apa yang merisaukan adalah keadaan api yang marak dengan sangat cepat, saya fikir dalam masa 10 minit semua rumah sudah pun hangus terbakar. Sebab itu kami semua juga keluar dari kediaman masing-masing kerana risau jika api boleh merebak melalui sambungan elektrik,” katanya.

Media hari ini melaporkan deretan rumah sewa satu tingkat yang dihuni seramai 25 orang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Jenderam Hilir di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.52 malam dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 10 malam.

Menurut beliau, kebakaran yang melibatkan sembilan pintu rumah sewa itu berjaya dikawal pada pukul 10.18 malam dan dipadamkan pada pukul 11 malam. UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN