Hanya sektor PMKS diberi kelonggaran tangguh gaji minimum - Utusan Malaysia

Hanya sektor PMKS diberi kelonggaran tangguh gaji minimum

AWANG Hashim (kiri) beramah mesra bersama 13 orang berinsurans yang menerima bayaran faedah pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perkeso di Wisma Perkeso Kedah di Alor Setar Kedah hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penangguhan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 hanya melibatkan sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai pekerja kurang lima orang iaitu sehingga 31 Disember ini.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, semua sektor lain tidak terkecuali apatah lagi setelah Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 itu diwartakan untuk pelaksanaan pada 1 Mei lepas.

“Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 di bawah PGM 2022 hanya terkecuali kepada majikan yang mempunyai lima pekerja ke bawah melibatkan sektor PMKS. Itu pun kalau majikan dalam sektor profesional seperti mana peguam atau klinik (doktor) mereka tidak boleh mengguna pakai perkara (penangguhan) ini.

“Mereka (sektor profesional) perlu mengikut gaji minimum yang ditetapkan. Penundaan sehingga 31 Disember 2022, “ katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perkeso di Wisma Perkeso Kedah di sini hari ini.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan bayaran faedah kepada 13 orang berinsurans berjumlah keseluruhan RM26,138.

Awang memberitahu, penangguhan sehingga hujung tahun ini bagi sektor terlibat adalah untuk memberi peluang kepada majikan terlibat membuat persediaan terutama yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Sehingga Disember ini sahaja, kita pertimbangkan. Jadi kita bagi penundaan dalam tempoh tujuh bulan lagi. Itu terkecuali untuk sektor yang saya sebut itu sahaja. Sektor lain mereka perlu laksanakan PGM 2022 ini,“ katanya.

Akhbar melaporkan kerajaan meluluskan pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 pada 1 Mei di seluruh negara.

Baru-baru ini, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mencadangkan peningkatan gaji minimum itu dilaksanakan secara berperingkat untuk membolehkan syarikat yang terjejas pandemik pulih.

Dalam perkembangan lain, kata Awang, penetapan gaji minimum bagi pekerja domestik atau amah Indonesia tertakluk kepada memorandum persefahaman (MoU) yang diputuskan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya