26 atlet Perak terima insentif RM24,350 - Utusan Malaysia

26 atlet Perak terima insentif RM24,350

SAARANI Mohamad (dua dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan Ketua Kontinjen Sukma Perak kepada Ahmad Suaidi Abdul Rahim di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 26 atlet Perak menerima insentif daripada kerajaan negeri dengan jumlah keseluruhan RM24,350 atas kejayaan meraih pingat pada kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, atlet yang menerima insentif itu daripada lapan acara sukan iaitu boling padang, renang, terjun, catur, tinju, tenpin boling, berbasikal para dan pasukan kriket wanita.

Katanya, pemberian insentif berkenaan bertujuan meningkatkan, menggalakkan dan memberi motivasi kepada golongan itu yang telah mewakili negara dalam pelbagai temasya sukan.

“Tahniah diucapkan kepada semua atlet yang telah melakar prestasi cemerlang dan mengharumkan nama negeri dalam pelbagai disiplin sukan.

“Sesungguhnya, bukan mudah untuk mereka menempa kejayaan jika tidak dengan usaha, pengorbanan masa, disiplin yang baik dan sokongan kuat ibu bapa serta jurulatih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan Countdown 100 Hari Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 di Galasa Caldwell, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Mazlan Mohamad.

Pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim diberi tanggungjawab sebagai Chef De Mission (CDM) Kontinjen Sukma Perak 2024 manakala Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd. Zaki Mahyudin dilantik sebagai Timbalan CDM.

Selain itu, lagu rasmi Kontinjen Sukma Perak bertajuk ‘Belang Tarung Tiga Warna’ turut dilancarkan seiring slogan yang merupakan warna bendera rasmi negeri iaitu putih, kuning dan hitam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×