fbpx

Guru si ‘seniman’ penyampai ilmu

MINI studio antara kemudahan yang disediakan sendiri oleh Idi Johan Mohd. Zohdi di rumahnya untuk mengajar secara dalam talian ketika pelaksanaan PdPR untuk anak muridnya dari SMK Dato Mustafa, Sekinchan di Sabak Bernam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelajar cemerlang adalah rezeki, tetapi jika mereka berjaya dalam apa sahaja yang dilakukannya daripada sekecil-kecil pekerjaan, itu adalah ‘upah’ paling manis buat insan bergelar guru.

Namun tanggungjawab untuk membentuk murid umpama ‘zero to hero’ bukan tugas mudah, selain minat seorang guru dikatakan perlu mempunyai keinginan yang benar-benar ikhlas dalam menyampaikan ilmu seperti melukis corak atas selembar kain putih.

Menurut seorang guru, Idi Johan Mohd. Zohdi, 41, tugas seorang guru boleh diibaratkan seperti ‘seniman’ penyampai ilmu kerana tugas mengajar tidak boleh bergantung kepada syarahan semata-mata, tetapi memerlukan ‘seni’ supaya memberi kesan kepada murid.

“Bermacam-macam perkara saya lakukan untuk mengajar seperti membuat aktiviti di luar kelas serta mendidik murid-murid mengenai apa sahaja perkara yang mereka ingin tahu seperti bermain alat muzik, membina keyakinan diri dan sebagainya.

“Apabila kita menganggap diri sebagai seniman yang mempersembahkan pengetahuan kepada murid, kita mampu mendepani segala cabaran sebagai guru,” katanya yang mengajar subjek matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mustafa, Sekinchan, Sabak Bernam kepada Utusan Malaysia.

Idi yang merupakan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, latar belakang murid bandar dan luar bandar mempunyai keunikannya tersendiri, malah hubungan dengan komuniti apabila mengajar di desa lebih akrab.

“Murid di bandar lebih berdikari dan mahu melakukan sesuatu dengan sendiri sementara di desa pula mereka lebih selesa apabila guru sentiasa berada bersama. Itu saya dapat lihat ketika saya bersekolah di Victoria Institution Kuala Lumpur dan mengajar di sini.

“Selain itu, apabila di luar bandar, ibu bapa murid turut mengenali kita dan berjumpa di kedai, warung dan kadang-kadang bertandang ke rumah untuk menyelia tugasan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu. Di situ pun kita saling berhubung dan berbincang,” katanya yang sudah 20 tahun bergelar guru.

Bercerita tentang saat-saat manis, jelasnya tidak ada guru yang tidak mengimpikan anak didiknya menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan berjaya dalam kehidupan.

“Cemerlang adalah rezeki, tetapi lebih manis apabila melihat pelajar ada yang bermula dengan ‘zero to hero’. Ada beberapa pelajar yang saya ajar, cukup apabila kamu pandai kira duit.

“Alhamdulillah, sekecil-kecil usaha memberi kesan dan ada antara mereka membuka kedai gunting rambut, bengkel kereta,” ujarnya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI