WASHINGTON: Sebuah kumpulan pro-Palestin Amerika Syarikat (AS) memfailkan aduan Hak Sivil Persekutuan terhadap Universiti Columbia berikutan penahanan besar-besaran penunjuk perasaan anti-Israel minggu lalu.
Pihak universiti dikatakan memanggil polis untuk membersihkan perkhemahan yang dilakukan penunjuk perasaan.
Palestine Legal, sebuah pertubuhan yang berusaha untuk melindungi hak orang di AS untuk bersuara bagi pihak Palestin, menggesa Jabatan Pendidikan AS menyiasat tindakan universiti berkenaan yang didakwa mendiskriminasi mereka yang pro-Palestin.
Bagaimanapun, Universiti Columbia enggan mengulas.
Minggu lalu, pihak universiti cuba menutup demonstrasi kampus secara paksa apabila Presiden Universiti Columbia, Minouche Shafik mengambil langkah luar biasa dengan menjemput polis New York City memasuki kampus.
Tindakan itu mengundang kemarahan ramai kumpulan hak asasi manusia, pelajar dan fakulti.
Lebih 100 orang ditangkap sekali gus mengingatkan demonstrasi menentang Perang Vietnam di Columbia lebih 50 tahun lalu.
Bantahan berterusan di Universiti Columbia dan merebak ke kampus AS yang lain,di mana ratusan ditangkap pada minggu lepas.
Penunjuk perasaan menyeru untuk menamatkan perang Gaza di mana Israel membunuh 34,000 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Insiden di AS yang mencemaskan termasuk tikam maut pada Oktober tahun lalu terhadap seorang warga Palestin Amerika berusia enam tahun di Illinois, tembakan terhadap tiga pelajar di Vermont November lalu dan tikam seorang lelaki Amerika Palestin pada Februari lalu.
Setiausaha Pendidikan AS, Miguel Cardona berkata, beliau mengikuti laporan dakwaan antisemitisme di kampus kolej.
Awal bulan ini, bekas pelajar Universiti Cornell mengaku bersalah untuk menyiarkan ancaman dalam talian termasuk kematian dan keganasan terhadap pelajar Yahudi di kampus. -REUTERS










