Guna surat dicap jari orang mati, dua warga emas diheret ke mahkamah - Utusan Malaysia

Guna surat dicap jari orang mati, dua warga emas diheret ke mahkamah

MHD. Kaim Tukimon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan dokumen mengandungi cap jari orang yang meninggal dunia bagi memindah milik tanah di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan dua lelaki warga emas menggunakan surat yang mengandungi cap jari individu meninggal dunia bagi memindah milik tanah mengundang padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan hari ini.

Tertuduh, Mhd. Kaim Tukimon, 70, dan Ibrahim Mahidin walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan tersebut selepas dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada 14 orang anak itu bersama Ibrahim didakwa melakukan kesalahan pada 2 Disember 2015 dan 24 November 2016 di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen ‘Power of Attorney’ antaranya dengan Che’ Nah Arshad (meninggal dunia).

Dokumen tersebut memberi kuasa kepada seseorang bagi memindah milik apa-apa cagaran berharga. Selain itu, Mhd. Kaim juga dituduh bersubahat dengan Ibrahim, 60, pada 2 Disember 2015 apabila menggunakan Perjanjian Jual Beli antara Che’ Nah dengan tertuduh.

Suami kepada dua isteri itu kemudian dituduh bersubahat bersama lelaki sama apabila secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Maklumat Pindah Milik dan Gadaian antara Che’ Nah dengannya pada tarikh sama.

Kesemua dokumen tersebut adalah palsu seperti yang diperihalkan di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan (KK) dan dia dituduh bawah Seksyen 109 dan dibaca bersama Seksyen 471 kanun sama yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Rozilah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 terhadap Mhd. Kaim dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport kepada mahkamah seperti ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya, Noryusriza Zulkifli.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri pada setiap awal bulan di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Putrajaya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Ibrahim kerana sedang menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun sejak 11 Januari lalu di Penjara Kajang.

Hakim kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 23 Jun hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya