Graduan tumpang motosikal ke konvokesyen - Utusan Malaysia

Graduan tumpang motosikal ke konvokesyen

R. Kevin, 28, popular di media sosial hari ini selepas gambarnya yang sedang memegang jubah konvokesyen USM di atas Jambatan Pulau Pinang sambil mencuba nasib menahan penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke pulau tular.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang gradu­an Universiti Sains Malaysia (USM) nekad menumpang sebuah motosikal untuk menghadiri majlis konvokesyen di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) di sini selepas tersangkut dalam kesesakan teruk pada awal pagi semalam.

Tindakan R. Kevin, 28, itu menjadi tular di media sosial dengan dirinya memegang jubah di atas jambatan sambil mencuba nasib menahan penunggang motosikal menghala ke pulau.

Kevin berkata, dia bersama ibu bapanya keluar dari rumah di Seberang Jaya dekat sini pukul 6.30 pagi, namun tidak menyangka kesesakan teruk berlaku ekoran kemalangan maut di Jambatan Pulau Pinang.

‘’Mula-mula saya harapkan kesesakan tidak berpanjangan tetapi setelah melepasi pukul 9 pagi kenderaan masih tidak bergerak, saya nekad turun dan mencari alternatif kerana impian saya cuma ingin naik ke pentas terima skrol,’’ katanya di sini semalam.

Menurutnya, dia keluar dari kereta bersama jubah konvokesyen dan mencuba nasib menahan penunggang motosikal dengan harapan ada yang sudi menumpangkannya untuk ke upacara Konvokesyen USM.

“Saya terharu kerana masih ada insan yang baik hati sudi membantu, saya juga tidak sempat berbual panjang dengan individu tersebut kerana dalam keadaan tergesa-gesa.

“Namun, saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada beliau, tanpa bantuan beliau saya mungkin tak sempat merasa naik ke pentas,” ujarnya.

Kevin berkata, dia turut gembira kerana kedua ibu bapanya, Rayappan, 62, dan Mary, 48, yang meneruskan pemanduan juga sempat tiba di USM untuk menyaksikan beliau menerima ijazah.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Universiti dan Sekretariat Upacara Konvokesyen Ke-59 USM memahami kesulitan dialami para graduan yang menerima ijazah pada sidang kelima semalam sebelum menangguhkan upacara selama 30 minit.

Upacara Konvokesyen yang sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi ditangguhkan ke 10.30 pagi bagi memberi laluan kepada mereka yang terkesan dengan kesesakan akibat daripada kemalangan.

Upacara pada sidang kelima dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Dr. Zulkef­li A. Hassan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN