Enam tan al-Quran rosak akibat banjir dilupuskan JAIP

Enam tan al-Quran rosak akibat banjir dilupuskan JAIP

ZAKARIA Mohamed (dua, kiri) mewakili JAIP bersama pegawainya dan anggota TLDM melakukan kerja-kerja pelupusan abu al-Quran di Laut China Selatan pada kedudukan sekitar 16,093 meter dari persisiran pantai Tanjung Gelang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak enam tan metrik abu al-Quran dilupuskan di Laut China Selatan pada kedudukan sekitar 16,093 meter dari persisiran pantai pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, di sini semalam. 

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Zakaria Mohamed berkata, jumlah itu yang tertinggi sejak proses pelupusan bahan mengandungi ayat suci al-Quran berbentuk kiub diperkenal pada 2013.

“Jumlah kali ini paling tinggi disebabkan al-Quran yang musnah ekoran kejadian banjir baru-baru ini dan kebanyakannya dari daerah yang terjejas teruk termasuk Bentong, Temerloh dan Maran.

“Kita sedia maklum, kebanyakan mangsa banjir tidak sempat menyelamatkan al-Quran, jadi ia perlu ‘diselamatkan’ dengan cara baik antaranya melalui pelupusan abu di laut.

“Namun begitu masih terdapat banyak al-Quran yang dalam proses pelupusan dan dijangka diselesaikan dalam sesi berbeza,” katanya selepas menyempurkan majlis pelupusan abu al-Quran dengan kerjasama TLDM di Laut China Selatan, di sini semalam. 

Yang hadir sama, Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain. 

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, setakat ini JAIP telah merekodkan jumlah keseluruhan pelupusan al-Quran dianggarkan mencecah sehingga 20 tan metrik.

Beliau dalam pada itu berkata, JAIP juga dalam usaha menempatkan 12 pusat pelupusan al-Quran di setiap Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) seluruh negeri ini dalam tempoh terdekat.

Katanya, setakat ini JAIP memiliki dua buah pusat pelupusan iaitu di PAID dekat Pekan dan Kampung Temin, Jerantut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN