KANGAR: Lazimnya hanya 10 minit, namun kebelakangan ini orang ramai yang membuat pas sempadan memasuki Malaysia-Thailand terpaksa menunggu tiga hingga empat jam bagi menyiapkan dokumen perjalanan tersebut.
Sebagai rekod, kemasukan pengembara Malaysia-Thailand melalui pintu sempadan antarabangsa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar yang dibuka baru-baru ini selepas lebih dua tahun ditutup, dipermudah dengan kebenaran penggunaan pas sempadan.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini semalam mendapati, orang ramai memenuhi kaunter di situ dan difahamkan angka giliran terpaksa dihentikan sekitar pukul 10 pagi apabila mencapai had 150 pengunjung yang ingin menyiapkan pas sempadan tersebut.
Mereka yang hadir selepas pukul 11 pagi diminta datang semula keesokan hari atau boleh menyiapkan pas sempadan di ICQS Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Ahmad Sahadan Ilham, 61, berkata, biasanya Imigresen hanya mengambil masa sekitar 10 minit menyiapkan dokumen perjalanan itu.
Dia yang datang dari Kuala Perlis kira-kira pukul 8 pagi hanya mendapat giliran untuk menyiapkan pas perjalanan tersebut pada pukul 12.20 tengah hari.
“Saya melihat kelewatan ini disebabkan terlalu ramai orang yang hadir membuat pas sempadan dan ada yang datang seawal pukul 7 pagi bagi mendapatkan angka giliran.
“Beberapa tahun lalu cawangan Imigresen Kuala Perlis ada membuka kaunter perkhidmatan pas sempadan namun kini tiada lagi setelah UTC Kangar dibuka. Kalau boleh, bukalah semula perkhidmatan pas sempadan itu di cawangan Kuala Perlis,” katanya.
Seorang pengunjung dari Alor Setar, Kedah, Mohd. Zulbakar Nordin, 27, pula berkata, dia yang datang sekitar pukul 9 pagi dimaklumkan lebih 100 orang tiba lebih awal bagi mendapat nombor giliran, namun sehingga pukul 12 tengah hari mereka masih belum menyelesaikan urusan itu.
“Kebetulan saya mempunyai urusan kerja di Kangar dan mengambil kesempatan menyiapkan dokumen perjalanan ini sebagai persediaan melancong ke negara jiran. Saya tidak mengetahui suasana sesak seperti ini namun keadaan di sini lebih cepat berbanding di Kedah.
“Pihak Imigresen mungkin boleh menambah kaunter tambahan memandangkan sambutan orang ramai membuat pas sempadan sangat tinggi pada waktu ini,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di ICQS Padang Besar pada sebelah petang pula mendapati orang ramai terpaksa berpatah balik selepas perkhidmatan di kaunter membuat pas sempadan itu tidak dapat dilakukan.
Difahamkan, permohonan dihadkan kepada 80 orang sahaja pada hari pertama pembukaannya itu dan jumlah tersebut bertambah sekiranya keadaan semakin baik.-UTUSAN ONLINE