Elak jadi seperti Ukraine, Malaysia perlu tegas tangani pencerobohan China

Elak jadi seperti Ukraine, Malaysia perlu tegas tangani pencerobohan China

DR DAUD YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Malaysia perlu tegas menangani isu pencerobohan China bagi mengelak negara ini menerima nasib sama seperti Ukraine.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr. Daud Yusof berkata, Malaysia harus berpendirian teguh kerana isu geopolitik semasa yang berlaku di perairan Malaysia menyaksikan pencerobohan demi pencerobohan dilakukan oleh China.

Jika ia berterusan, negara ini mungkin berada dalam kedudukan sama seperti Ukraine.

Justeru, isu pencerobohan China di perairan Laut China Selatan tidak boleh dianggap ringan kerana ia jelas mencabul kedaulatan negara.

Beliau bimbang sekiranya isu geopolitik ini tidak ditangani dengan segera, ia akan mendatangkan risiko kepada Sabah dan Sarawak yang berada di barisan hadapan.

Berdasarkan laporan, sejak tahun lalu pesawat pejuang ‘halimunan’ China J-20 telah mula berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan bagi melakukan rondaan dan latihan rutin.

“Namun, alasan kerajaan China mengatakan mereka ‘sekadar’ menjalani latihan ketenteraan dan bertegas tidak merentasi mana-mana sempadan antarabangsa adalah tidak munasabah sama sekali.

“Tidak masuk akal sekiranya tindakan tidak terancang setelah pencerobohan maritim berlaku sebanyak 23 kali dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Malah, rekod daripada Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) telah memberi amaran melalui angka pencerobohan sebanyak 89 kali bermula 2016 hingga 2019,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Daud turut mempersoalkan langkah penyelesaian oleh Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi mempertahankan kedaulatan tanah air khususnya keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, siri pencerobohan ruang angkasa dan maritim Borneo serta pantai timur Semenanjung yang berlaku selepas pandemik Covid-19 menggambarkan betapa Wisma Putra dan Mindef tidak mempunyai apa-apa pelan mitigasi dan pemulihan terhadap krisis tersebut.

ADUN Parti Warisan itu berkata, Malaysia harus bertindak secara kolektif bersama negara-negara Asean bagi mencapai resolusi dan kesefahaman bersama China bahawa tindakan mereka atas nama latihan atau tidak disengajakan amat mengguris perasaan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

Jelas beliau, tidak wajar China menjadikan wilayah Malaysia sebagai proksi pertempuran antara kuasa-kuasa besar dan sepatutnya kumpulan kuasa besar itu harus selesaikan pertikaian mereka tanpa menjadikan Laut China Selatan sebagai tempat menunjukkan kekuatan tentera.

“Tinggalkan segera perairan Sabah dan Sarawak. Keutamaan kita adalah keselamatan rakyat Sabah dan Sarawak kerana masyarakat kita bimbang ekonomi akan terjejas sekiranya isu pencerobohan itu tidak ditangani segera,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya