PETALING JAYA: Semua 123 cawangan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di seluruh negara beroperasi esok bagi membolehkan bakal haji yang terpilih pada musim haji tahun ini menjalankan urusan dokumentasi berkaitan perjalanan mereka.
Bakal haji yang terpilih boleh menghantar surat terima tawaran haji dan buku rekod rawatan setelah pemeriksaan kesihatan dibuat serta pasport antarabangsa ke mana-mana pejabat cawangan TH yang berhampiran.
Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi Tabung Haji, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, bakal haji boleh hadir ke mana-mana cawangan lembaga itu di seluruh negara yang beroperasi dari pukul 8.45 pagi hingga 4 petang.
“Ia bertujuan mengelak kesesakan di cawangan-cawangan Tabung Haji dengan pendeposit untuk berurusan sempena cuti hari raya yang panjang.
“Keputusan ini dibuat bagi memberi kemudahan dan untuk melancarkan urusan bakal jemaah haji walaupun hari Ahad merupakan hari cuti di kebanyakan negeri.
“Kami berharap bakal jemaah haji dan pendeposit dapat memanfaatkan peluang ini,” katanya.
Menurut Mohamed Ameen, hal ini berikutan pengumuman Tabung Haji untuk melanjutkan tarikh menjawab surat tawaran tunai haji kepada Isnin ini dan pendeposit dibenarkan hadir untuk urusan lain yang berkaitan.
“Pendeposit juga boleh hadir untuk perkhidmatan simpanan dan pengeluaran serta penukaran status akaun kanak-kanak kepada akaun dewasa,” katanya. – UTUSAN