GENEVA: Buat pertama kali dalam sejarah, jumlah kanak-kanak dan remaja yang mengalami obesiti kini melebihi mereka yang kekurangan zat makanan, menurut laporan terbaharu Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Peningkatan mendadak ini disifatkan sebagai titik perubahan yang amat membimbangkan, dengan hampir satu daripada 10 individu berusia lima hingga 19 tahun dijangka menghidap obesiti menjelang tahun 2025.
UNICEF menegaskan obesiti merupakan bentuk malnutrisi paling dominan di dunia, didorong oleh lambakan makanan ultra-proses yang murah dan mudah diperoleh, termasuk di negara yang masih bergelut dengan masalah kebuluran.
Ketua UNICEF, Catherine Russell berkata masalah kekurangan zat makanan bukan lagi berkisar kepada kekurangan berat badan, tetapi merangkumi pemakanan tidak seimbang.
Laporan tersebut menunjukkan sejak 2000, kadar kekurangan berat badan dalam kalangan remaja menurun daripada 13 peratus kepada 10 peratus, namun dalam tempoh sama, jumlah mereka yang mengalami berat badan berlebihan melonjak dua kali ganda daripada 194 juta kepada 391 juta orang.
Kadar obesiti meningkat lebih tiga kali ganda daripada tiga peratus pada tahun 2000 kepada lapan peratus pada 2022.
UNICEF menyatakan punca utama bukanlah pilihan ibu bapa semata-mata, tetapi akibat taktik pemasaran tidak beretika syarikat makanan dan minuman yang mengutamakan keuntungan.
Menurut pakar pemakanan UNICEF, Katherine Shats, produk seperti ini semakin banyak menggantikan makanan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan protein dalam diet harian keluarga.










