MELAKA: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini memberi limpahan rezeki kepada bekas wartawan, Amran Ali, 48, yang mengusahakan dodol warisan arwah ibunya di Kampung Pernu dekat sini.
Amran berkata, sejak awal Ramadan sehingga sebelum tibanya Syawal, dia telah menerima tempahan mencecah satu tan metrik.
Ujarnya, hampir setiap malam sepanjang bulan puasa, dia yang dibantu tiga anak saudara mengacau 40 kilogram (kg) dodol bagi memenuhi permintaan daripada syarikat-syarikat serta individu.
“Saya mula menerima tempahan sebulan sebelum Ramadan daripada syarikat-syarikat dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor termasuk dari negeri ini juga.
“Alhamdulillah rezeki Aidilfitri tahun ini paling bermakna, dodol yang saya usahakan menggunakan resipi arwah emak sejak lebih 25 tahun makin mendapat sambutan.
“Tak menang tangan memasak dodol menggunakan satu kawah setiap malam selama 30 hari termasuk malam hari raya. Saya hanya mampu masak 40kg setiap malam, walaupun ada lebih permintaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Amran yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee menambah, dodol dihasilkannya tidak mempunyai sebarang bahan pengawet, sebaliknya menggunakan seratus peratus gula Melaka dan santan berkualiti.
“Keunikan dodol ini kerana tidak melekat dijari, sebaliknya ‘melekat di hati’ mereka yang menjamahnya.
“Saya menjual dodol warisan pada harga RM28 sekilogram, jauh lebih rendah berbanding dodol di pasaran hingga mencecah RM40 sekilogram,” jelasnya. – UTUSAN










