Darurat: Anwar, empat wakil rakyat peroleh kebenaran untuk merayu

Darurat: Anwar, empat wakil rakyat peroleh kebenaran untuk merayu

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan empat wakil rakyat berjaya memperoleh kebenaran untuk merayu terhadap keputusan mahkamah terdahulu yang menolak permohonan mereka untuk mencabar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong menggantung Parlimen semasa tempoh darurat.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Nallini Pathmanathan yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Zabariah Mohd. Yusof memutuskan demikian dalam keputusan majoriti 2-1 selepas mendengar hujahan lisan pihak-pihak terlibat.

Hakim Nallini dan Hakim Lam Kiat menyokong permohonan tersebut manakala Hakim Zabariah menentang.

Selain Anwar, turut mengemukakan permohonan sama ialah Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah), Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (DAP) serta Hassan Abdul Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang).

Terdahulu ketika membaca penghakiman majoriti, Hakim Nallini berkata terdapat beberapa persoalan yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Kami berpendapat permohonan yang dikemukakan memenuhi keperluan mengikut Seksyen 96(a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mana ia membabitkan kepentingan awam dan tidak pernah disentuh di mana-mana mahkamah sebelum ini.

“Kami juga berpendapat bahawa permohonan ini bukanlah sesuatu yang akademik. Oleh itu, permohonan ini dibenarkan,” kata hakim itu.

Sementara itu, Hakim Zabariah ketika membaca penghakiman menentangnya menyatakan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang yang dikaitkan dengan isu pengisytiharan darurat oleh Agong.

“Peruntukan mengikut Perkara 150(6) Perlembagaan Persekutuan menyatakan mana-mana undang-udang yang diwujudkan rentetan daripada Proklamasi Darurat tidak boleh dianggap tidak sah walaupun bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan 150 ini memberi kesan apabila ketika darurat, Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat sebarang undang-undang atas apa jua subjek dan kesan bagi setiap undang-undang termasuk perkara membabitkan hak kebebasan.

“Adalah terang, jelas dan nyata apabila ia (Perlembagaan Persekutuan) menyatakan bahawa manhakamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau menentukan sebarang persoalan atau prosiding dalam apa jua bentuk atau alasan dalam menentukan kesahihan (proklamasi). Perkataan yang digunakan adalah jelas untuk menolak termasuk permohonan semakan kehakiman,” ujar Hakim Zabariah.

Pada 11 Mac 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menolak permohonan untuk memulakan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Salahuddin, Johari dan Abdul Aziz atas alasan proklamasi serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson gagal mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman itu selepas Mahkamah Tinggi di sini pada 22 April menolak permohonannya.

Bagi Hassan pula, permohonannya untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman ditolak Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 26 April lalu.

Istana Negara dalam satu kenyataan bertarikh 12 Januari 2021 mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos tahun sama sebagai langkah proaktif membendung Covid-19 di Malaysia.

Muhyiddin, dalam perutusan khas sempena proklamasi darurat pada hari yang sama, menjelaskan Kabinet telah menasihatkan Seri Paduka untuk mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara selaras dengan Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa dari 11 Januari hingga 1 Ogos 2021

Mahkamah Rayuan pada 24 November 2021 mengekalkan Mahkamah Tinggi tersebut atas alasan serupa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.