PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan perolehan berkaitan Covid-19 didakwa mempunyai unsur rasuah dan penyelewengan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan itu dalam satu sidang media secara maya, hari ini.
“Kementerian bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM berkaitan aspek perolehan,” kata Khairy.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM sedang melakukan siasatan terhadap perolehan berkaitan Covid-19 yang didakwa mempunyai unsur rasuah dan penyelewengan.
Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki dilapor berkata, terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.
Menurutnya, siasatan yang sedang dilakukan adalah termasuk aktiviti rasuah dalam perolehan perkhidmatan perubatan, penyalahgunaan kuasa mengalihkan bantuan dan pakej rangsangan, penipuan berkaitan peralatan perubatan dan sebagainya. – UTUSAN