ISTANBUL: Seorang petani cedera parah selepas diserang seekor singa jantan yang terlepas dari sebuah zoo di wilayah selatan Turkiye awal pagi semalam, lapor media tempatan.
Haiwan buas itu kemudian ditembak mati oleh pihak berkuasa.
Singa berkenaan, yang dikenali sebagai Zeus, dipercayai melarikan diri dari kurungannya di taman haiwan Land of Lions di Manavgat, sebuah bandar peranginan di pesisir Mediterranean.
Menurut agensi berita Demiroren, kejadian berlaku sekitar awal pagi apabila Zeus keluar dari kawasan zoo tanpa disedari.
Beberapa jam kemudian, haiwan itu menyerang mangsa, Suleyman Kir, 53, yang ketika itu sedang tidur di kawasan luar selepas menyiram pokok pistachio.
“Saya terdengar bunyi bisikan. Apabila saya mengangkat selimut, singa itu terus menerkam saya,” katanya kepada wartawan.
Agensi berita Ilhas melaporkan pasukan polis yang menjalankan pencarian terdengar bunyi pergaduhan dan berjaya menghalau singa itu dengan melepaskan tembakan amaran ke udara.
Rakaman video turut menunjukkan singa tersebut berkeliaran berhampiran kawasan perumahan sebelum melarikan diri ke kawasan belukar.
Mangsa dikejarkan ke hospital dengan kecederaan di bahagian kepala, bahu dan kaki.
Menurut laman web rasmi Land of Lions, taman haiwan itu menempatkan lebih 30 ekor singa dan mendakwa memiliki keluarga singa terbesar di dunia selain turut memelihara haiwan liar lain termasuk harimau, beruang dan serigala.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan zoo dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.









