PETALING JAYA: Puteri UMNO perlu tampil sebagai penggerak dan pemacu utama idea serta hala tuju wanita muda dalam era politik negara masa kini.
Menurut penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azhar Abd. Hamid, sehubungan itu sayap UMNO tersebut perlu melaksanakan transformasi dalaman dengan menjadi suara mewakili generasi wanita muda yang progresif.
Katanya, Puteri UMNO wajar memperjuangkan isu-isu kontemporari seperti ekonomi digital, kepemimpinan wanita, pendidikan, pekerjaan dan kesihatan mental bagi mendekati keperluan sebenar rakyat.
“Mereka perlu lebih vokal dan berani menyuarakan pendirian termasuk dalam menegur kepemimpinan tertinggi parti secara konstruktif untuk membentuk wajah politik yang lebih matang dan dinamik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, seorang Exco Pergerakan Puteri UMNO, Reena Awliyatul Imani Reezal Merican berkata, kepemimpinan parti itu di peringkat Pusat perlu memberi kepercayaan kepada anak muda kerana Puteri UMNO masih diterima dan diyakini rakyat.
Katanya, oleh itu, Puteri UMNO perlu diberikan kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya bukan hanya diberi tanggungjawab di pentas ucapan.
Sementara itu, Mohd. Azhar berkata, pemimpin Puteri UMNO juga mesti memanfaatkan teknologi khususnya media sosial sebagai platform menyampaikan mesej dan membina sokongan anak muda secara organik.
Katanya, bagi tampil lebih segar, Puteri UMNO perlu berani membawa pendekatan komunikasi autentik yang bukan sekadar retorik tetapi benar-benar membahas isu kehidupan sebenar secara terbuka dan jujur.
“Puteri UMNO perlu membentuk identiti perjuangan tersendiri berasaskan wanita muda Melayu Islam yang moden, berakhlak, bijak dan progresif, agar naratif mereka tidak tenggelam dalam bayang Wanita UMNO,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik dari UTM, Dr. Mazlan Ali pula berkata, Puteri UMNO kini dilihat semakin tenggelam dan kurang menonjol berbanding Pemuda dan Wanita UMNO dalam menyampaikan mesej parti.
Katanya, imej eksklusif dan kurang mesra akar umbi menyebabkan pergerakan itu dilihat jauh daripada realiti kehidupan anak muda. – UTUSAN









